Banjir terburuk di Sungai Siput selepas bah besar 2014

Keadaan SK Lintang yang turut ditenggelami air akibat banjir yang melanda Sungai Siput. Gambar kecil dari kiri: Jasni, Khadijah Azna
Keadaan SK Lintang yang turut ditenggelami air akibat banjir yang melanda Sungai Siput. Gambar kecil dari kiri: Jasni, Khadijah Azna
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Banjir yang menjejaskan puluhan keluarga di beberapa kawasan di Sungai Siput pada Ahad disifatkan terburuk yang melanda sejak 2014.

Penduduk, Jasni Ahmad, 53, berkata, paras air yang naik secara mendadak hingga mencapai lebih satu meter bermula jam 6 pagi itu seolah-olah mengulang kembali peristiwa banjir besar dihadapi negara dan kawasan itu, 10 tahun lalu.

"Pagi tadi, sedar-sedar sahaja air dah naik tinggi, apa barang pun tak dapat diselamatkan.

Situasi banjir yang menjejaskan puluhan keluarga di beberapa kawasan di Sungai Siput pada Ahad disifatkan terburuk yang melanda sejak 2014.
Situasi banjir yang menjejaskan puluhan keluarga di beberapa kawasan di Sungai Siput pada Ahad disifatkan terburuk yang melanda sejak 2014.

"Keadaan ini di luar jangkaan kerana kebiasaannya, kalau hujan lebat pun, tidaklah paras air naik seperti ini.

"Kali ini sangat teruk, saya kira yang kedua terburuk selepas peristiwa banjir besar 2014 lalu," katanya ketika ditemui pemberita.

Jasni yang bekerja sebagai penoreh getah berkata, situasi banjir akan semakin memburuk sekiranya paras air tidak menunjukkan tanda surut selain faktor hujan masih berterusan di kawasan itu.

Pihaknya berharap, pihak berwajib dapat memantau keadaan sungai berhampiran kawasan itu bagi mengelak keadaan banjir yang lebih serius berlaku.

Artikel Berkaitan:

Penduduk meranduk air banjir yang mencecah ketinggian lebih 0.5 meter semasa tinjauan dilakukan di Kampung Lintang pada Ahad.
Penduduk meranduk air banjir yang mencecah ketinggian lebih 0.5 meter semasa tinjauan dilakukan di Kampung Lintang pada Ahad.

"Daripada pemantauan penduduk sendiri, dah lama tidak dijalankan kerja-kerja mengorek dan mendalamkan sungai.

"Dulu ada, tetapi mungkin sekarang sungai dah cetek menyebabkan air sungai melimpah apabila hujan lebat," katanya.

Pendapat sama disuarakan Khadijah Azna Ahmad, 41, yang terpaksa meranduk banjir setinggi lebih 0.5 meter bersama keluarganya.

Ujarnya, paras air yang naik tinggi menyebabkan rumah mereka di Kampung Lintang di sini tidak lagi selamat diduduki dan memerlukan penduduk berpindah segera ke PPS.

"Air mula naik sekitar jam 6 pagi dan saya dapat berpindah ke PPS sekitar jam 11.30 pagi.

"Ini kali kedua saya berdepan banjir besar. Cukuplah, Kalau boleh janganlah berlaku lagi," katanya.

Antara kediaman penduduk yang dinaiki air semasa tinjauan dilakukan di Kampung Lintang, Sungai Siput pada Ahad.
Antara kediaman penduduk yang dinaiki air semasa tinjauan dilakukan di Kampung Lintang, Sungai Siput pada Ahad.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, berdasarkan laporan awal, terdapat enam kampung termasuk dua perkampungan masyarakat Orang Asli terjejas dalam banjir kali ini.

Menurutnya, kampung terlibat adalah Kampung Lintang melibatkan 80 keluarga, Kampung Lasah (52 keluarga), Kampung Tok Sirat (15 keluarga), Kampung Makmur (33 keluarga), Kampung Orang Asli Jong (18 keluarga) dan Kampung Orang Asli Chenein (10 keluarga).

Balai Polis Lintang turut ditenggelami air akibat banjir.
Balai Polis Lintang turut ditenggelami air akibat banjir.

"Bagaimanapun, jumlah keseluruhan mangsa yang terlibat belum dapat dikenal pasti memandangkan penempatan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS) masih dalam peringkat dokumentasi," katanya.

Beliau akui, kawasan tersebut kali terakhir dilanda banjir teruk adalah pada 2014 lalu.

"Cuma kali ini ada beberapa kawasan teruk ditenggelami air. Ini termasuklah bangunan Balai Polis Lintang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Lintang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!