Perluasan perang di Lubnan tangguh gencatan senjata, Ketua UNRWA beri amaran

Philippe Lazzarini
Philippe Lazzarini
A
A
A

ISTANBUL - Perluasan perang di Lubnan menghalang usaha untuk mencapai gencatan senjata, kata ketua agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi pelarian Palestin memberi amaran pada Ahad.

"Saya baru sahaja pulang dari Lubnan yang orang ramai hidup dalam ketakutan dan kebimbangan," lapor Agensi Anadolu memetik Ketua Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini di platform X.

"Ratusan ribu orang, sebahagian besar daripada mereka wanita dan kanak-kanak, telah terpaksa melarikan diri untuk mencari keselamatan."

Lazzarini berkata, pasukan UNRWA bekerja sepanjang masa untuk menyediakan bantuan asas kepada rakyat di Lubnan, termasuk bantuan psikologi untuk kanak-kanak.

"Peluasan perang ke Lubnan menjauhkan kita daripada mencapai gencatan senjata yang diperlukan untuk memberikan kelegaan kepada orang awam di seluruh rantau ini," katanya memberi amaran.

"Sudah tiba masanya untuk pemimpin menunjukkan keberanian dan menamatkan tragedi kemanusiaan yang semakin meningkat di seluruh rantau ini."

Pada Sabtu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengadakan perbincangan melalui telefon dengan Speaker Parlimen Lubnan Nabih Berri untuk membincangkan usaha menghentikan serangan Israel di Lubnan, menurut agensi berita negara Lubnan NNA.

Israel melancarkan serangan udara besar-besaran di seluruh Lubnan terhadap apa yang dikatakannya sebagai sasaran Hizbullah sejak 23 September, membunuh sekurang-kurangnya 1,437 orang, mencederakan lebih 4,123 yang lain dan memaksa lebih 1.34 juta orang melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

Kempen udara itu adalah peningkatan daripada setahun peperangan rentas sempadan antara Israel dan Hizbullah sejak serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza tahun lepas, yang Israel telah membunuh lebih 42,200 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Walaupun amaran antarabangsa bahawa Timur Tengah berada di ambang perang serantau akibat serangan tanpa henti Israel ke atas Gaza dan Lubnan, Israel memperluas konflik itu pada 1 Oktober dengan melancarkan serangan darat ke selatan Lubnan. - Bernama/Agensi Anadolu

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!