Seorang terbunuh, 9 cedera insiden tembakan berhampiran Universiti Tennessee AS
HOUSTON - Sekurang-kurangnya seorang maut dan sembilan lagi cedera selepas tembakan berlaku pada Sabtu berhampiran Tennessee State University, menurut pegawai Jabatan Polis Metro Nashville (MNPD), lapor Xinhua.
Universiti itu sedang meraikan acara perjumpaan ketika insiden berlaku. Namun, Komander MNPD Anthony McClain menjelaskan bahawa insiden tembakan itu nampaknya tidak berkaitan secara langsung dengan acara berkenaan.
"Malangnya, beberapa individu telah merosakkan acara ini untuk semua orang,” kata McClain.
Seorang lelaki berusia 24 tahun terbunuh. Antara yang cedera, tiga adalah remaja berusia 12 hingga 14 tahun, kata pengarah Hal Ehwal Awam MNPD Don Aaron.
Kebanyakan mangsa mungkin adalah orang awam yang tidak bersalah, yang terkena tembakan yang dilepaskan antara dua kumpulan itu, kata pegawai.
"Sekurang-kurangnya seorang daripada yang cedera disyaki terlibat dalam insiden tembakan itu,” kata MNPD di platform X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.
Siasatan sedang dijalankan. - Bernama/Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!