Isi menarik, kreatif pasti akan ditunggu ramai
KISAH yang baik, tidak kiralah ia berbentuk drama, telefilem atau filem sekalipun, pasti kemunculannya di kaca televisyen sering ditunggu orang ramai.
Sebagai contoh sebelum ini, kita dihidangkan dengan filem Sherif: Narko Integriti, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dan Polis Evo 3 serta filem lain yang pecah panggung, sememangnya boleh diberi pujian kepada jalan cerita dan persembahannya.
Begitu juga drama atau telefilem seperti Lelaki itu, Pok Ya Cong Codei, Nur dan 7 Hari Mencintaiku, episod demi episod, pasti akan ditunggu-tunggu kemunculannya.
Bahkan isi kandungannya akan dibawa ke pejabat dan dibincangkan pula bersama teman sekerja, menandakan watak dan kisah yang dibawakan pelakon benar-benar berkesan.
Dialog-dialog yang dituturkan di dalamnya turut dibawa keluar ke alam realiti iaitu kehidupan masing-masing dan dituturkan orang ramai sehinggakan kanak-kanak juga menyebutnya dalam kalangan mereka.
Sudah tentu kesinambungan drama, telefilem atau filem tersebut akan disebut-sebut dan ditunggu-tunggu pula sambungannya pada masa akan datang.
Begitu juga dengan khutbah Jumaat yang disampaikan khatib di atas mimbar setiap minggu. Sepatutnya ia menjadi sesuatu yang ditunggu-tunggu para jemaah untuk mendengarnya.
Ia kemudian akan dibawa ke luar masjid dan disampaikan pula kepada rakan sekerja dan ahli keluarga di rumah masing-masing.
Itulah sebenarnya fungsi khutbah Jumaat yang mendidik para ketua keluarga sebelum ia diamalkan dalam kehidupan mereka sekeluarga.
Akhbar ini ingin memberi pujian kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan jabatan agama negeri-negeri lain yang begitu proaktif dan kreatif dalam menyediakan isi kandungan khutbah Jumaat.
Sebagai contoh, khutbah Jumaat disediakan JAIS dan disampaikan khatib di seluruh negeri Selangor berkaitan dengan isu eksploitasi kanak-kanak dan penyelewengan ajaran Islam oleh GISBH serta yang terbaharu berkaitan dengan ikatan perkahwinan, begitu menarik dan berkesan isi dan penyampaiannya.
Sehinggakan ramai yang tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya, apa pula khutbah yang akan disampaikan khatib pada solat Jumaat pada minggu hadapan.
Syabas JAIS dan jabatan agama negeri yang cakna dengan isu-isu semasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!