Suami terkena alahan mengandung, setia tunggu pokok limau
SEPANG - Aksi seorang lelaki yang mengalami alahan mengandung tular di laman sosial menyebabkan warga maya terhibur dan turut berkongsi pengalaman masing-masing.
Dalam beberapa perkongsian klip video yang dimuat naik di platform TikTok, turut kelihatan aksi lelaki terbabit mengelilingi pokok limau kasturi sambil menghidu daunnya meraih lebih 600,000 tontonan.
Salah satu klip video terbabit turut memaparkan aksinya dengan dahi masih ditampal pelekat ketika pulang dari kerja meraih 2 juta tontonan setakat ini.
Ahmad Shafari Nazri, 37, dari Sepang memberitahu, dia menghidu pokok limau kasturi yang ada berhampiran rumahnya untuk mengurangkan alahan yang dialami sejak tiga minggu lalu.
"Bila hidu bau pokok itu, memang rasa lega sikit. Tak sangka pula klip video yang dirakam dan dimuat naik isteri, Fasihah Ab Saba, 32, tular.
"Ini sebenarnya pengalaman kali pertama saya alami alahan teruk sebegini walaupun sudah memiliki dua anak," katanya.
Pekerja sebuah syarikat swasta itu mengakui alahan yang dialaminya itu menyebabkan dia cepat penat dan mual hingga pernah dibawa pulang rakan sekerja akibat situasi terbabit.
"Bagaimanapun buat masa ini, saya masih berselera makan dan tidak ada rasa mengidam apa-apa.
"Saya rasa alahan ini mungkin disebabkan saya langgar janji dengan isteri. Sebelum ini saya berjanji kalau isteri mengandung saya tidak akan bermain bola sepak, namun saya masih melakukan hobi ini.
"Jadi buat masa ini saya terpaksa berhenti dulu untuk bermain bola selain keadaan alahan yang saya alami ketika ini," katanya yang juga jurulatih kelab bola sepak kanak-kanak.
Dalam pada itu, Ahmad yang berasal dari Pekan, Pahang itu memberitahu isterinya kini sudah mengandung tiga bulan dan berharap alahan yang dialaminya itu segera reda.
"Apa pun yang saya alami ini, saya anggap ujian dan berharap isteri dapat menjalani proses mengandung ini dengan lancar," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!