Semua impikan perjalanan yang tenang, selamat sampai destinasi
KITA semua dikejutkan dengan pelbagai kisah yang menyayat hati dalam tempoh seminggu ini. Antaranya insiden membabitkan empat penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu yang cukup meruntun hati masyarakat termasuk Merak Jalanan sendiri.
Terfikir seketika, apalah salah mereka semua sehingga tiga daripada mereka terkorban di atas jalan raya kerana dirempuh pemandu wanita yang dipercayai mempunyai masalah mental.
Bukan Merak Jalanan hendak menafikan soal ajal, ia sudah tentu merupakan rahsia dan pengetahuan Sang Pencipta sejak azali lagi.
Namun sikap dan perangai segelintir pengguna jalan raya yang masih mementingkan diri sendiri masih menjadi paparan utama berita-berita yang disiarkan akhbar mahupun televisyen.
Berbalik kepada kisah penuntut UiTM itu, mereka sendiri pun tidak menyangka akan dilanggar dengan sebuah kenderaan yang dipandu laju dari arah belakang selepas makan bersama-sama.
Dalam umur yang masih muda, semua impian mereka dan ahli keluarga berkecai. Harapan mereka untuk menggenggam segulung ijazah dan menggapai cita-cita akhirnya terhenti di situ.
Kita semua termasuk Merak Jalanan pun sama, mengharapkan perjalanan yang tenang sama ada ketika berada di atas jalan raya mahupun perjalanan kehidupan ini.
Apa yang diimpikan ialah perjalanan yang tenang tanpa sebarang gangguan dan akhirnya selamat sampai tiba di destinasi atau berjaya di dalam hidup.
Bagaimanapun, perjalanan yang kita semua akan lalui ini, terdapat rintangan yang perlu masing-masing hadapi. Berbeza dengan tiga penuntut itu, Merak Jalanan dan para pembaca masih bernafas untuk berjalan dengan tenang.
Suka Merak Jalanan ingatkan, perjalanan yang tenang ini boleh dihentikan secara tiba-tiba oleh sikap diri sendiri mahupun orang lain.
Beringatlah sentiasa!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!