Tak perlu ungkit rezeki kurniaan ALLAH

Apa yang menjadi masalahnya apabila ada isteri yang besar kepala kerana merasakan dirinya banyak menyumbang rezeki kepada keluarga, seolah-olah hanya dia sahajalah banyak berkorban. Gambar hiasan: 123rf
Apa yang menjadi masalahnya apabila ada isteri yang besar kepala kerana merasakan dirinya banyak menyumbang rezeki kepada keluarga, seolah-olah hanya dia sahajalah banyak berkorban. Gambar hiasan: 123rf
A
A
A

ZAMAN sekarang, golongan wanita juga bekerja untuk mencari rezeki bukan sahaja bagi menampung keperluan diri, tetapi turut membantu menafkahi keluarga.

Menurut kajian terkini diterbitkan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), kadar penyertaan tenaga buruh wanita meningkat ketara daripada 37.2 peratus pada 1970 kepada 56.2 peratus tahun lalu.

Angka itu dipetik menerusi laporan Jurang Wanita dalam Dunia Pekerjaan: Status, Kemajuan dan Atribut Individu, Nilai serta Jurang Pekerjaan Gender oleh KRI.

Andai seorang isteri berkerjaya, sudah tentu sedikit sebanyak duit gajinya akan turut disisihkan untuk perbelanjaan keluarga kerana tidak tega membiarkan si suami terkontang-kanting sendirian mengeluarkan belanja itu dan ini.

Namun, jika sudah namanya manusia, ada ketikanya kita rasa ikhlas dan reda dengan pemberian itu. Kadangkala habis semua ‘sumbangan’ itu diungkit lebih-lebih lagi jika dalam keadaan emosi atau sedang berseteru dengan pasangan.

Apa yang menjadi masalahnya apabila ada isteri yang besar kepala kerana merasakan dirinya banyak menyumbang rezeki kepada keluarga, seolah-olah hanya dia sahajalah banyak berkorban.

Ayat-ayat seperti ‘Sebab duit sayalah, satu keluarga boleh makan sedap’ atau ‘Kerana gaji hasil saya bekerjalah perabot rumah cukup serba-serbi’ antara yang terlontar keluar dari mulut wanita sama ada secara sedar atau tidak. Suami pula dianggap tidak berbuat apa-apa.

Penulis bukanlah mahu memenangkan pihak suami apalagi jika mereka sudah melunaskan tanggungjawab sebaik mungkin, memberi nafkah mengikut kadar kemampuannya dan tidak mengambil kesempatan atas kemurahan hati isteri.

Artikel Berkaitan:

Cuma sekadar mahu menjentik masyarakat bahawa semua rezeki termasuk harta yang dikecapi itu datangnya daripada ALLAH SWT. Tidak layak pun untuk menyatakan bahawa rezeki itu diperoleh sebab diri kita.

Sedangkan pada hari akhirat, Sang Pemilik rezeki itu akan bertanya kepada kita semula dari mana harta itu ia diperoleh dan bagaimana cara digunakannya.

Adakah kita mahu habiskan duit yang merupakan rezeki kurniaan Tuhan itu untuk membeli barangan kurang penting jika tiada keperluan seperti baju, kasut dan koleksi peribadi hingga tidak muat almari di dalam rumah?

Atau sibuk membeli alat mekap sahaja untuk kepentingan duniawi yang sementara?

Mungkin kita gunakan wang itu untuk berikan anak bimbingan agama dan pendidikan terbaik, di samping kehidupan lebih baik?

Jawapannya ada pada diri sendiri kerana ia berdasarkan poket masing-masing. Walhal semua itu sudah pasti memang akan dihisab seadil-adilnya mengikut neraca ALLAH, bukan timbangan manusia.

Walaupun bukan tanggungjawab wanita memberi nafkah, tetapi jika isteri reda memberikan gajinya bagi membantu suaminya yang kurang berkemampuan dalam perbelanjaan rumah, perbuatan wanita itu akan mendapat pahala bersedekah tatawwu’ (sukarela).

Apatah lagi kata orang, hidup ini ‘keras’ dan kita perlu berusaha gigih untuk meraih apa diinginkan.

Sedangkan sebagai umat Islam, kita diajar untuk bersederhana dalam setiap perkara termasuklah dalam soal gaya hidup. Itulah yang sebaik-baiknya dan sentiasa bersyukur dengan rezeki kurniaan ALLAH SWT, cukuplah dengan apa yang ada.

Teringat pesanan yang dititipkan Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Dr Nurzahidah Jaapar bahawa sikap mengungkit merosakkan pahala dan pelakunya termasuk dalam tiga golongan yang tidak diajak bicara oleh ALLAH SWT pada hari kiamat kelak.

Biarlah rezeki kurniaan ALLAH itu kita lorongkan ke arah kebaikan dan memberi manfaat kepada diri serta orang lain demi meraih keredaan-NYA. Rezeki untuk disyukuri, bukan diungkit-ungkit.

Seandainya, ia diniatkan kerana ALLAH, tiada ungkitan berlaku dan percayalah setiap apa yang kita lakukan, pasti diberikan ganjaran oleh-NYA.

*Nurulfatiha Muah ialah Penolong Editor Sinar Islam Plus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!