Pasar Besar Kuala Krai terbakar
KUALA KRAI - Pasar Besar Kuala Krai terbakar awal pagi Isnin mengakibatkan keseluruhan bahagian atas pasar itu musnah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, kebakaran melibatkan 80 peratus bahagian atas bangunan pasar itu, bagaimanapun tidak ada mangsa yang cedera atau terperangkap.
Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 1.21 pagi sebelum lima jentera membabitkan 25 pegawai dan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba di lokasi kita dapati sebahagian besar pasar terutama bahagian atas sudah hangus," katanya ketika dihubungi.
Beliau memaklumkan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 2.06 pagi dan api padam sepenuhnya kira-kira jam 3.42 pagi.
"Operasi tamat pada jam 5.17 pagi dan jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!