KDM sasar 'rampas' kerusi pemangku Presiden PBS pada PRN17

Peter beramah mesra dengan rakyat di DUN Limbahau ketika hadir melancarkan Jentera PRN17 DUN Limbahau, di Dewan Kampung Biau, Papar.
Peter beramah mesra dengan rakyat di DUN Limbahau ketika hadir melancarkan Jentera PRN17 DUN Limbahau, di Dewan Kampung Biau, Papar.
A
A
A

PAPAR - Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang pernah menumbangkan bekas Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, sekali lagi bakal melancarkan 'serangan' untuk merampas kerusi milik pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Joachim Gunsalam dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

Presiden KDM Datuk Peter Anthony mendedahkan, calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang telahpun dikenal pasti ketika ini.

"Calon sudah saya umum di Kundasang tempoh hari, beliau seorang yang berpengalaman dan berpengaruh di kawasan itu.

"Calon kita ini seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah bank jadi saya ingat tidak ada masalah untuk beliau bertanding di Kundasang," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Jentera PRN17 DUN Limbahau, di Dewan Kampung Biau, di sini pada Ahad.

Pada PRU lalu, calon KDM Datuk Wetrom Bahanda berjaya menewaskan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili di Parlimen Kota Marudu dengan memperoleh undian sebanyak 24,318 undi.

Diminta mengulas mengenai 10 kerusi yang diyakini boleh dimenangi KDM, beliau mendedahkan Limbahau antara kerusi yang menjadi sasaran parti itu juga.

"Saya ingat berdasarkan potensi di Limbahau, saya yakin kita akan tetap lawan," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai sasaran terbaharu kerusi DUN yang akan ditandingi KDM, Peter tidak menolak daripada 35 kerusi yang disebut sebelum ini akan meningkat kepada 50 kerusi.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ada permintaan, kalau saudara-saudara kita dari kaum Cina yang mahu mengabadikan diri untuk bertanding di kawasan Cina, kita mengalu-alukan. Saya ingat mereka juga inginkan perubahan," katanya.

Beliau bagaimanapun dalam pada itu menolak dakwaan bahawa KDM sebagai proksi kepada Parti Warisan (Warisan) sebaliknya Peter menegaskan bahawa parti itu tidak menjalin sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak ketika ini.

"Dalam ucapan saya telah nyatakan bahawa KDM kita tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana, lagipun kita ini parti kerdil, parti nyamuk, mana ada orang mahu kita.

"Sedangkan mereka di Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ada macam-macam di dalam, ada Pas, ada Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), ada Parti Liberal Demokratik (LDP), kita seorang dan kita mengambil keputusan untuk bergerak solo kerana kita tahu membuat keputusan dalam kumpulan ini bukan mudah.

"Yang menyatakan kononnya saya bersubahat atau mempunyai hubungan kait dengan Warisan itu adalah satu fitnah, mana ada Warisan datang hari ini, tidak pun dijemput, semua ini orang KDM," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!