Belanjawan 2025: LKIM harap belanjawan pacu transformasi sektor perikanan
SEREMBAN - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berharap Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini dapat menjadi pemangkin kepada transformasi sektor perikanan, dengan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan hidup nelayan.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, melalui pemberian subsidi yang berterusan, peningkatan elaun sara hidup, serta sokongan berterusan kerajaan terhadap penggunaan teknologi moden, langkah ini dijangka memberi kesan positif kepada pendapatan nelayan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sektor perikanan yang lebih mampan.
"Setakat ini, terdapat sekitar 81,991 nelayah berdaftar di bawah LKIM seluruh negara. Angka ini menunjukkan saiz komuniti nelayan yang bergantung kepada bantuan dan sokongan kerajaan melalui pelbagai program yang disediakan oleh LKIM," katanya kepada Bernama di sini pada Isnin.
Muhammad Faiz berkata, kos sara hidup yang semakin meningkat, termasuk kos bahan api dan peralatan juga memberi tekanan besar kepada komuniti nelayan.
"Dalam usaha menjaga kebajikan mereka, kami berharap ada peningkatan dalam elaun sara hidup bagi para nelayan. Kenaikan ini harus selaras dengan kadar inflasi dan kos operasi semasa untuk membantu meringankan beban kewangan nelayan.
"Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk memastikan kesejahteraan komuniti nelayan terus terjaga dan taraf hidup mereka dapat ditingkatkan," katanya.
Beliau berkata, dengan sokongan berterusan daripada kerajaan, sektor perikanan berpotensi berkembang secara lebih lestari, sementara kehidupan nelayan dapat dipertingkatkan secara keseluruhan.
Selain itu, beliau menekankan keperluan untuk terus menggalakkan lebih ramai nelayan mendaftar sebagai ahli persatuan bagi memastikan mereka tidak terlepas daripada menerima pelbagai manfaat yang disediakan oleh kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadual membentangkan Belanjawan 2025, belanjawan ketiga di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan pada 18 Oktober ini di Dewan Rakyat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!