Penyelia tapak pembinaan rugi lebih RM100,000 ditipu pelaburan tidak wujud

Penyelia tapak pembinaan rugi lebih RM100,000 ditipu pelaburan tidak wujud
Penyelia tapak pembinaan rugi lebih RM100,000 ditipu pelaburan tidak wujud
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang penyelia tapak pembinaan mengalami kerugian sehingga RM118,800 setelah ditipu dalam pelaburan tidak wujud menerusi aplikasi ATS Pro.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa, lelaki berusia 39 tahun mengetahui mengenai aplikasi itu apabila dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp oleh individu tidak dikenali pada 21 April lepas.

Beliau berkata, mangsa yang memerhatikan perbualan dan maklumat atas keuntungan diterima ahli lain dalam kumpulan itu telah dihubungi individu bernama Vincent sebelum didorong untuk melabur seperti yang ditunjukkan oleh mentor bernama Joel Kim dalam kumpulan itu.

"Dokumen perjanjian dibuat secara dalam talian oleh Dimensional Fund Advisory (Hong Kong) Investment Company, yang merupakan penaung aplikasi tersebut. Ini akhirnya meyakinkan pengadu tentang potensi keuntungan menerusi pelaburan itu.

"Mangsa berminat untuk melabur apabila dijanjikan keuntungan antara lima hingga sembilan peratus dalam masa tiga hingga lima hari dengan hanya bermodalkan RM5,000. Pulangan keuntungan dijanjikan dalam bentuk Ringgit Malaysia atau Yuan China," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Azli berkata, mangsa yang berasal dari Manir, di sini pada awalnya telah diberikan tutorial secara maya lima hari seminggu oleh mentor Joel selama beberapa bulan sebelum membuat 12 transaksi wang bermula RM5,000 hingga RM118,800 ke dua akaun bank berbeza.

Setelah itu, mangsa cuba mengeluarkan keuntungan sebanyak RM2,000, namun gagal.

"Pengadu telah berusaha menghubungi Vincent dan khidmat pelanggan aplikasi ATS Pro, tetapi diminta untuk membayar sebanyak RM424,298.08 bagi mengeluarkan keuntungan pelaburan berjumlah RM1,151,590.40.

Artikel Berkaitan:

"Pengadu yang menggunakan wang simpanan dari saham Amanah Saham Nasional Berhad mula mengesyaki bahawa dia telah ditipu sebelum tampil membuat laporan polis pada pagi semalam. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!