'Portugal sukar menang Piala Dunia jika masih harapkan Ronaldo'

Cristiano Ronaldo FOTO: AFP
Cristiano Ronaldo FOTO: AFP
A
A
A

PAKAR analisis ESPN, Steve Nicol percaya Portugal tidak mempunyai peluang untuk memenangi Piala Dunia 2026 jika Cristiano Ronaldo kekal dalam kesebelasan utama sebagai penyerang mereka.

Pendapat itu disuarakan Nicol yang juga bekas pemain Liverpool selepas Portugal melakar kemenangan 3-1 menentang Poland dalam Liga Negara-Negara UEFA pada Ahad.

Ronaldo menjaringkan satu gol ketika menentang Poland yang menjadi gol ke-906 dalam kariernya.

Bagaimanapun, Nicol tidak terkesan dengan persembahan pemain berusia 39 tahun itu, sebaliknya memilih untuk memuji Rafael Leao, Pedro Neto dan Bruno Fernandes.

"Jika Cristiano Ronaldo adalah penyerang pada Piala Dunia, Portugal tidak akan memenanginya. Saya dapat beri jaminan. Leao mempunyai 2-3 larian yang sangat bagus hari ini.

"Jika antara sekarang sehingga ke Piala Dunia, Leao boleh kekal konsisten pada tahap tertentu bersama dengan Bernardo Silva serta Fernandes sudah tentu akan menjadi sesuatu yang berbeza.

"Neto berlari antara pertahanan Poland dengan cukup baik, itulah sebabnya separuh masa pertama sangat bagus. Semua pemain melakukan kerja dengan baik.

"Jadi ya, mereka boleh memenangi Piala Dunia tetapi mereka tidak boleh memenanginya dengan Ronaldo sebagai penyerang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ronaldo sememangnya tidak dapat disangkal sebagai penjaring gol antarabangsa terhebat sepanjang zaman apabila telah menjaringkan 133 gol dan 45 bantuan gol dalam 215 penampilan di semua pertandingan.

Pencapaiannya cukup penting kepada Portugal ketika memenangi Euro 2016 dan Liga Negara-Negara 2019.

Walaupun Ronaldo masih tajam di depan gawang, namun prestasinya telah mulai merosot dan ia terbukti apabila A Selecao tersingkir daripada Piala Dunia FIFA 2022 dan Euro 2024 di suku akhir dengan Ronaldo hanya menjaringkan satu gol dan satu bantuan gol dalam 10 penampilan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!