3,942 projek pembangunan di bawah RMK12 sedang dalam pelaksanaan setakat 26 Ogos

Sebanyak 3,942 projek daripada 8,593 projek pembangunan di bawah RMK12 sedang dalam pelaksanaan setakat 26 Ogos tahun ini. Gambar hiasan
Sebanyak 3,942 projek daripada 8,593 projek pembangunan di bawah RMK12 sedang dalam pelaksanaan setakat 26 Ogos tahun ini. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 3,942 projek atau 45.9 peratus daripada 8,593 projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sedang dalam pelaksanaan setakat 26 Ogos tahun ini, kata Ketua Audit Negara pada Isnin.

Bagaimanapun, 169 projek daripada projek yang sedang dalam pelaksanaan menghadapi kelewatan jadual atau sakit (bermasalah), kata Ketua Audit Negara menerusi satu kenyataan berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024 mengenai penyata kewangan kerajaan Persekutuan tahun 2023 yang dibentangkan di Parlimen, hari ini.

Sementara itu, 1,434 projek berada di peringkat pasca pelaksanaan, 3,085 projek di peringkat pra pelaksanaan dan 132 projek berstatus batal dan simpan dalam perhatian, menurut kenyataan itu.

Justeru, Ketua Audit Negara mengesyorkan agar pemantauan yang lebih rapi dan berterusan serta melaksanakan langkah intervensi dengan segera bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan di RMK-12 dapat disiapkan sepenuhnya menjelang akhir tahun 2025.

"Prestasi keseluruhan projek RMK12 hanya akan dapat diukur pada penghujung tahun 2025. Sehubungan itu, pemantauan projek hendaklah dipertingkatkan bagi mencapai objektif yang ditetapkan," kata kenyataan itu lagi

Tambah kenyataan itu, di bawah Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12 yang dibentangkan di Parlimen pada 11 September 2023, kerajaan telah memberikan penegasan terhadap usaha mempertingkatkan kecekapan pelaksanaan dan pemantauan khususnya pelaksanaan strategi dan inisiatif KSP RMK12.

"Prestasi perbelanjaan projek RMK12 dari tahun 2021 hingga 2023 adalah sebanyak RM231.920 bilion melebihi peruntukan yang diluluskan sebanyak RM222.756 bilion bagi tempoh yang sama. Jumlah ini telah pun mencecah 55.9 peratus daripada jumlah siling peruntukan sebanyak RM415 bilion bagi pelaksanaan projek RMK12," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Audit Negara turut mengemukakan 260 syor untuk dipertimbangkan pelaksanaannya oleh kementerian/jabatan/agensi serta syarikat kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 13 penyata kewangan kerajaan negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2023 telah dikemukakan antara bulan Januari hingga Jun 2024. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!