Guru penolong kanan ditahan cabul murid

Polis menahan seorang guru penolong kanan yang disyaki mencabul seorang murid perempuan Tahun Enam di sebuah sekolah rendah di Ipoh, Sabtu lalu. Gambar hiasan
Polis menahan seorang guru penolong kanan yang disyaki mencabul seorang murid perempuan Tahun Enam di sebuah sekolah rendah di Ipoh, Sabtu lalu. Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Polis menahan seorang guru penolong kanan yang disyaki mencabul seorang murid perempuan Tahun Enam di sebuah sekolah rendah di Ipoh, Sabtu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, suspek yang berusia 37 tahun itu ditahan selepas menerima laporan daripada ibu mangsa pada jam 3 petang pada Jumaat.

"Pengadu melaporkan anak perempuannya yang berusia 12 tahun telah dipeluk dan dicium serta menerima gambar tidak senonoh daripada suspek yang baru lapan bulan bertugas di sekolah berkenaan.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh membuat tangkapan terhadap suspek untuk siasatan lanjut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Isnin.

Menurut Azizi, siasatan mendapati suspek yang masih bujang telah beberapa kali melakukan perbuatan itu dan setakat ini melibatkan seorang mangsa.

"Suspek yang tiada rekod jenayah direman selama enam hari bermula Sabtu hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.

Media pada Ahad melaporkan Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia memberi khidmat kaunseling kepada mangsa yang dilaporkan mengalami gangguan seksual oleh guru terbabit.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Wong berkata, khidmat kaunseling Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri sentiasa sentiasa bersedia terhadap mangsa sekiranya memerlukan.

Katanya, kementerian telah mengambil tindakan berkaitan selepas menerima laporan berhubung kes itu dan individu telah dipindah keluar dari sekolah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!