Teruja nak untung 300 peratus, wanita rugi RM244,000
KUANTAN - Teruja dengan skim pelaburan menawarkan keuntungan sehingga 300 peratus, seorang wanita menjadi mangsa sindiket pelaburan dalam talian tidak wujud hingga kerugian RM244,000.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 35 tahun berminat untuk menyertai satu skim pelaburan melalui aplikasi Facebook selepas melayari laman sosial itu pada 11 Julai lalu.
Menurutnya, skim pelaburan tersebut menawarkan keuntungan lumayan 5 hingga 300 peratus daripada modal yang dilaburkan.
"Mangsa telah berurusan dengan suspek sebelum dia diminta memuat turun sebuah aplikasi melalui pautan yang diberikan bagi urusan pelaburan tersebut.
"Dalam tempoh 21 Ogos hingga 3 Oktober lalu, mangsa telah memindahkan RM244,000 wang pelaburan menggunakan wang simpanannya melalui 11 kali transaksi ke tiga akaun bank berbeza," katanya melalui kenyataan pada Isnin.
Yahaya berkata, mangsa menyedari ditipu apabila gagal menerima sebarang keuntungan daripada suspek seperti yang dijanjikan.
"Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis di sebuah balai di Kuantan," katanya.
Sementara itu katanya, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud dan jangan mudah terpengaruh dengan keuntungan lumayan dijanjikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!