Murid 11 tahun dikesan paling muda jadi penagih dadah

Penyalahgunaan dadah melibatkan pelajar sekolah menunjukkan trend membimbangkan. Gambar hiasan
Penyalahgunaan dadah melibatkan pelajar sekolah menunjukkan trend membimbangkan. Gambar hiasan
A
A
A

KANGAR - Kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid dan pelajar sekolah di negara ini menunjukkan trend membimbangkan apabila statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mencatatkan peningkatan bagi tempoh 2020 hingga 2023.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok berkata, sebanyak 10,456 kes penyalahgunaan dadah direkodkan melibatkan murid sekolah rendah pada 2020 seterusnya meningkat kepada 10,712 kes pada 2021.

"Pada 2022 pula, kes membabitkan murid merekodkan sebanyak 11,611 dan meningkat kepada 12,755 kes pada tahun berikutnya (tahun lepas),” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Aspirasi Bahasa dan Sastera di sini, yang dianjurkan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Khairul Anwar berkata, berdasarkan rekod AADK, murid berusia 11 tahun dikesan paling muda menjadi penagih dadah.

Bagi kategori sekolah menengah rendah iaitu pelajar Tingkatan Tiga atau setaraf, Khairul Anwar berkata, statistik merekodkan sebanyak 32,867 pelajar terbabit dengan isu penyalahgunaan dadah pada 2020 dan meningkat kepada 34,612 pelajar pada 2021.

"Pada 2022, jumlah pelajar meningkat kepada 36,236 orang manakala pada tahun lepas kepada 37,321 orang,” katanya.

Beliau berkata, bagi kategori pelajar sekolah menengah atas iaitu Tingkatan Lima dan setaraf menyaksikan peningkatan kepada 55,855 orang pada tahun lepas berbanding 47,951 orang pada 2022 manakala tahun sebelumnya merekodkan sebanyak 43,863 pelajar dan 42,758 pelajar pada 2020.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Khairul Anwar berkata, pelbagai langkah dilaksanakan pihaknya untuk memastikan isu itu dapat diatasi dengan menggunakan usaha pencegahan menerusi Model i-Cegah AADK meliputi lima elemen antaranya saringan dan penilaian, pemprofilan, perancangan dan pelaksanaan.

Beliau berkata, kempen 'Lebih Baik Cegah' terus diperhebat untuk memastikan usaha pencegahan awal menjadi benteng utama sebelum kes penyalahgunaan dadah menjadi lebih parah. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!