[VIDEO] 'Lebih banyak soalan daripada backbenchers tidak adil' - Takiyuddin
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dasar baharu mengenai pertanyaan bagi 10 soalan teratas dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat mendapat perhatian pembangkang yang menyifatkannya sebagai tidak adil kepada blok itu.
Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, dasar enam soalan daripada penyokong kerajaan (backbenchers) berbanding empat di pihak pembangkang tidak wajar dan bercanggah dengan amalan di Dewan Rakyat sebelum ini.
"Walaupun tidak tercatat dalam peraturan (mesyuarat Dewan Rakyat), ini adalah praktis yang dilakukan sejak sekian lama, sejak zaman Barisan Nasional (BN) mempunyai lebih dua per tiga majoriti, masih dilaksanakan 1-1 kecuali ada keadaan tertentu.
"Ini adalah urusan dewan, sepatutnya apa-apa permohonan sama ada daripada ' backbenchers' atau pembangkang (perlu) dibincang dalam Jawatankuasa Pemilihan Parlimen yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof) sebagai Ketua Whip kerajaan, Ketua Pembangkang (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Ketua Whip Pembangkang dan lain-lain serta dipengerusikan oleh Speaker (Tan Sri Johari Abdul) sendiri.
"Perkara ini sepatutnya dibincangkan dengan kami, bukan diputuskan begitu sahaja. Ini demi kepentingan bersama," katanya ketika bangkit memohon penjelasan dalam sidang Dewan Rakyat, pada Isnin.
Terdahulu, Johari sebelum memulakan sidang Dewan Rakyat membenarkan lebih banyak soalan diajukan pihak penyokong kerajaan dalam kedudukan 10 teratas bagi sesi soal jawab lisan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan permohonan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) untuk meningkatkan jumlah pertanyaan kepada enam soalan dalam kedudukan 10 teratas, atas alasan bilangan mereka lebih ramai berbanding pihak pembangkang.
Namun Johari menjelaskan, penetapan dan susunan itu akan dikaji dari semasa ke semasa sepanjang persidangan Dewan Rakyat.
"Walaupun peraturan majlis mesyuarat tidak menetapkan syarat mengenai susunan pertanyaan bagi jawab lisan, bermula mesyuarat ketiga di bawah Peraturan Mesyuarat 100, saya benarkan permohonan tersebut.
"Kebenaran ini bukan bermaksud untuk mengehadkan suara mana-mana pihak tetapi meluaskan suara daripada ' backbenchers' dan pembangkang dalam mengajukan pertanyaan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!