Program Madani Rakyat 2024 berjaya capai matlamat, objektif kerajaan
KUALA LUMPUR - Program Madani Rakyat 2024 berjaya mencapai matlamat dan objektif yang disasarkan oleh kerajaan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Beliau berkata, setiap penganjuran program berkenaan sejak permulaannya pada Februari lepas sentiasa mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat jelata yang ingin tahu mengenai usaha dan prestasi kerajaan setakat ini.
"... memang mencapai (matlamat dan objektif) kerana kehadiran (setiap Program Madani Rakyat) melebihi 200,000 orang, itu yang kita harapkan.
"Melalui Program Madani Rakyat, orang ramai mendapatkan penjelasan (berkenaan inisiatif kerajaan) terus daripada setiap agensi kerajaan, bukan melalui orang tengah atau parti ketiga,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV pada Isnin.
Beliau berkata, Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah merupakan zon keenam serta pelengkap Program Madani Rakyat tahun ini selepas Zon Tengah di Selangor, Zon Utara di Pulau Pinang, Zon Timur di Pahang, Zon Selatan di Johor dan Zon Sarawak.
Mohamad Fauzi berkata, pelaksanaan program itu di Sabah melibatkan kolaborasi strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selaku kementerian peneraju serta kerajaan Sabah dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).
"Sebanyak lapan program tumpuan disediakan iaitu Kesejahteraan Rakyat dilaksana Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM, Agenda Perpaduan (Kementerian Perpaduan Negara), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Karnival Kerjaya (Kementerian Sumber Manusia) dan Perkhidmatan Kerajaan Negeri (kerajaan Sabah).
"Selain itu Pertanian dan Keterjaminan Makanan (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan), Perkhidmatan Kesihatan (Kementerian Kesihatan) dan program sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta kecerdasan buatan (AI) dilaksana Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya.
Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah yang bertemakan ‘Meningkatkan Kesejahteraan Pengguna’ akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat (18 Oktober) di pekarangan Kompleks Sukan Likas dan dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Oktober. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!