Rumah sedang dibaiki roboh dilanda arus deras

Mohd Naim mengangkat sisa kayu yang hanyut akibat banjir melanda daerah Baling baru-baru ini.
Mohd Naim mengangkat sisa kayu yang hanyut akibat banjir melanda daerah Baling baru-baru ini.
A
A
A

BALING - Banjir yang melanda daerah Baling turut menjejaskan sebilangan kawasan di Kampung Teluk Rambong, Tanjung Pari di sini sehingga menyebabkan sebuah rumah yang sedang dibaiki musnah dibawa arus.

Mohd Naim Asri Baharom, 46, berkata, rumahnya rosak akibat banjir gelombang pertama pada 30 September lalu.

Mohd Naim
Mohd Naim

Menurutnya, tidak menyangka rumah yang dalam proses pembaikan itu sekali lagi terkena tempias sehingga bahagian hadapan rumah runtuh akibat banjir terbaharu.

"Semasa banjir gelombang pertama, rumah ini alami kerosakan dan ia sedang dibaiki.

"(Dalam) banjir baharu ini dinding dan bumbung bahagian depan rumah pula roboh dengan keadaan penuh lumpur serta sisa kayu hanyut dibawa arus," katanya.

Menurut Mohd Naim, semasa berlaku banjir gelombang pertama, jambatan besi yang menjadi laluan untuk keluar masuk ke rumah turut dihanyutkan arus deras.

Mohd Naim melihat keadaan rumah yang dipenuhi sisa kayu, batu dan lumpur akibat dilanda arus deras dalam kejadian banjir baru-baru ini.
Mohd Naim melihat keadaan rumah yang dipenuhi sisa kayu, batu dan lumpur akibat dilanda arus deras dalam kejadian banjir baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Namun, katanya, penduduk kampung telah bergotong-royong untuk membina jambatan alternatif.

"Tetapi jambatan kayu itu pun turut musnah dalam gelombang kedua banjir kira-kira dua minggu lalu. Satu lagi jambatan kayu dibina dan siap Jumaat lalu," katanya.

Menceritakan kembali kejadian banjir pada Sabtu, Mohd Naim berkata, ketika itu dia berada di rumah jiran yang terletak tidak jauh dari situ.

"Hujan lebat mula turun jam 5 petang disertai angin kencang dan pada jam 7 malam air telah naik. Saya tengok sekejap sahaja air dah cecah bumbung.

"Dalam keadaan gelap, saya nampak bahagian hadapan rumah sudah runtuh. Bila air kembali surut, sekitar pukul 9 malam, saya jengah kembali keadaan rumah dan dapati ia dah rosak teruk," katanya.

Menurutnya, selepas beberapa kali banjir melanda kawasan itu, dia mula khuatir untuk menetap di situ memandangkan paras air sungai naik mendadak sekiranya hujan lebat.

Dia turut memikirkan untuk mencari tapak baharu kerana bimbang kawasan itu sudah tidak lagi selamat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!