Lima termasuk dalang sindiket dadah miliki 23 rekod jenayah diberkas

Azizi (dua dari kanan) menunjukkan ketulan kristal methamphetamin yang dirampas daripada kumpulan sindiket pengedar dadah di Teluk Intan.
Azizi (dua dari kanan) menunjukkan ketulan kristal methamphetamin yang dirampas daripada kumpulan sindiket pengedar dadah di Teluk Intan.
A
A
A

IPOH - Polis Perak menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan lima lelaki dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Chui Chak dekat Teluk Intan, Khamis lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, suspek berusia 30 hingga 47 tahun itu ditahan dalam serbuan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

Menurut beliau, pemeriksaan berjaya menemukan dadah seberat 21.87 kilogram (kg) bernilai RM787,527.35.

"Polis merampas empat peket berisi heroin seberat 4.21 gram, empat peket berisi methamphetamin seberat 3.12 gram dan 13 ketulan kristal disyaki methamphetamin seberat 21,863 gram.

"Siasatan yang dijalankan mendapati sindiket ini mula aktif menjalankan aktiviti mengedar sejak September dan dadah dirampas boleh dibekalkan kepada 218,664 penagih," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Isnin.

Azizi berkata, siasatan mendapati kumpulan yang didalangi suspek berusia 47 tahun itu menjadikan rumah berkenaan sebagai pusat operasi membungkus dan mengedar dadah untuk pasaran tempatan dan seluruh negeri.

Azizi (dua dari kanan) berjaya merampas dadah daripada sindiket pengedar tegar di Teluk Intan.
Azizi (dua dari kanan) berjaya merampas dadah daripada sindiket pengedar tegar di Teluk Intan.

Artikel Berkaitan:

"Suspek utama disifatkan sebagai penjenayah tegar apabila memiliki 23 kes lampau dalam kes dadah dan jenayah lain.

"Suspek dipercayai memperoleh bekalan dari pelbagai lokasi sekitar Perak dan mungkin dibawa masuk melalui jalan terbuka sama ada darat atau laut.

"Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Jelas beliau, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita dua kereta dan sebuah motosikal bernilai RM26,000.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati kelima-lima suspek positif dadah jenis methamphetamin.

"Semakan mendapati kesemua mempunyai rekod lampau kes dadah dan jenayah.

"Kesemua mereka direman selama tujuh hari mulai Jumaat hingga khamis ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!