Undang-undang baharu banteras scammer sedang digubal – Azalina

Azalina
Azalina
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan dalam proses menggubal rang undang-undang (RUU) jenayah dalam talian sebagai sebahagian usaha membanteras sindiket penipuan dalam talian atau scammer di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penggubalan RUU berkenaan dibuat selepas mengambil kira masa depan negara yang menuju ke arah pendigitalan.

“Pada sesi (Dewan Rakyat) ini kita akan wujudkan RUU Jenayah Dalam Talian selepas pembentangan Belanjawan 2025 supaya pelbagai perkara berkaitan dapat dibahas dan luluskan,” katanya dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH - Kota Melaka) berkenaan pindaan undang-undang berkaitan untuk menangani jenayah dalam talian.

Walau bagaimanapun, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang tidak memperincikan butiran lanjut mengenai RUU berkenaan.

Beliau menjelaskan, RUU berkaitan jenayah dalam talian tidak hanya melibatkan jenayah telekomunikasi tetapi jenayah love scam dan e-dagang serta pinjaman tidak wujud.

"Kita kena berhati-hati terutamanya dalam isu love scam, kadang-kadang kita bercinta ingatkan orang itu wujud tapi sebenarnya dia adalah AI (kecerdasan buatan).

"Jadi saya nak nasihatkan semua supaya jangan terlalu percaya sangat dalam sistem sedemikian," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu beliau turut memaklumkan, kerajaan telah membuat pindaan ke atas Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) bagi menangani kes jenayah siber khususnya penipuan kewangan melibatkan penggunaan akaun keldai.

Menurutnya, pindaan Akta 574 melalui seksyen 424A, 424B dan 424C antara lain telah memasukkan peruntukan baharu berkaitan kesalahan individu yang membenarkan akaun bank digunakan oleh orang lain tanpa kuasa yang sah bagi menangani isu akaun keldai.

"Sehubungan dengan itu, perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat telah ditangani melalui pindaan yang dibuat kepada Akta 574 memandangkan takrifan orang termasuk syarikat atau mana-mana entiti korporat," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!