Tiga beradik lalok tepi landasan kereta api ditahan
KAJANG - Tiga beradik antara 10 penagih yang dicekup ketika sedang khayal dadah di tepi landasan kereta api Jalan Reko di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor kira-kira jam 4.30 petang.
Menurutnya, tangkapan membabitkan lapan lelaki dan dua wanita berusia dalam lingkungan 30 hingga 47 tahun.
"Hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek yang ditahan positif dadah.
"Polis merampas 40 peket plastik berisi bahan disyaki dadah heroin seberat 65 gram dan 30 peket plastik berisi bahan disyaki dadah syabu seberat 20 gram yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM4,000," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, semakan lanjut mendapati tiga daripada suspek yang ditahan iaitu seorang lelaki dan dua wanita adalah adik-beradik.
Katanya, ketiga-tiga beradik yang tidak bekerja itu juga dikesan memiliki rekod lampau bersabit kes dadah.
"Polis percaya port tersebut kerap digunakan sebagai tempat melepas gian biarpun kerap diserbu. JSJN akan terus komited melaksanakan operasi dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah," katanya.
Tegasnya, kesemua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!