Kunjungan kapal tentera China di Pulau Pinang tidak langgar peraturan
KUALA LUMPUR - Tiada sebarang pelanggaran terhadap mana-mana peraturan negara termasuk urusan diplomatik susulan kunjungan kapal tentera dari China ke Pelabuhan Pulau Pinang, baru-baru ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, kunjungan kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang, China itu turut mendapat kebenaran Kementerian Pertahanan.
"Permohonan diplomatik dari kedutaan China jelas ada memohon perkara berkenaan, untuk membuat lawatan ke sekolah yang berunsur dan berlatar belakang Konfusianisme dan lain-lain.
"Ini ada diuruskan oleh pihak keselamatan dan yang lain itu kita harap kalau ada apa-apa pelanggaran daripada pihak mereka, akan disiasat.
"Setakat ini memang jelas apa yang dimohon semasa permohonan diplomatik, tidak melanggar apa-apa peraturan Malaysia," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) di sidang Dewan Rakyat pada Isnin.
Sebelum ini Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyifatkan sambutan meriah terhadap dua kapal tentera laut China yang berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang 'tidak masuk akal'.
Ini kerana dakwanya, terdapat perairan Malaysia iaitu di Sabah dan Sarawak dicerobohi aset republik berkenaan.
Dalam pada itu Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau menjelaskan, acara meriah bagi menyambut ketibaan kapal tersebut sebelum ini bersempena meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China.
Menjawab soalan asal Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) berkaitan konflik di Laut Cina Selatan, beliau maklumkan ketegangan yang berlaku adalah di luar kawasan maritim Malaysia berdasarkan Peta Baru Malaysia pada tahun 1979.
"Di dalam konteks pengendalian isu Laut China Selatan, saya ingin menegaskan bahawa kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa dijadikan teras utama dalam setiap tindakan yang diambil.
"Isu berkaitan Laut China Selatan merupakan isu yang kompleks dan sensitif. Setiap tindakan yang diambil adalah berdasarkan pertimbangan komprehensif tanpa mengenepikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!