'Air naik terlalu cepat, risau banjir besar pada 2021 berulang'

Penduduk memindahkan barangan ke tempat lebih selamat. Gambar kecil: Hakim dan Mohd Rosidi
Penduduk memindahkan barangan ke tempat lebih selamat. Gambar kecil: Hakim dan Mohd Rosidi
A
A
A

TEMERLOH - Penduduk di Kampung Batu Kapor, Mentakab di sini menyifatkan banjir yang berlaku kali ini mengejutkan kerana air naik terlalu cepat berbanding kebiasaan.

Bagi seorang tukang kebun, Hakim Ahmad Zakaria, 30, air naik tidak sampai sehari dan memasuki dalam rumahnya dalam tempoh beberapa jam.

"Memang cepat kali ini, selalu dalam tempoh sehari dua. Air naik pukul 7 malam semalam (Ahad) dan dalam 3 pagi tadi sudah memasuki sepenuhnya dalam rumah sehingga ke paras lutut dan terus meningkat.

"Risau dan berdebar juga bila lihat air naik terlalu cepat kali ini dan berharap tidak besar macam 2021," katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi penduduk, Mohd Rosidi Jamaludin, 54, juga tidak menjangka banjir kali ini berlaku dalam tempoh yang cepat.

"Walaupun semua barangan sudah ditempatkan ke tempat lebih tinggi tapi rasa risau tetap ada selepas trauma dengan banjir besar pada 2021," jelasnya.

Hujan sejak beberapa hari lalu menyebabkan limpahan Sungai Semantan di sini dan setakat jam 12.30 tengah hari, paras air terus meningkat.

Penduduk yang terjejas akibat banjir di Kampung Batu Kapor, Mentakab.
Penduduk yang terjejas akibat banjir di Kampung Batu Kapor, Mentakab.

Artikel Berkaitan:

Situasi banjir kali ini juga menyebabkan kebanyakan penduduk melakukan pemindahan barangan ke tempat lebih selamat kerana gusar jika banjir besar seperti 2021 berulang.

Berdasarkan portal Info Bencana sehingga jam 12.01 tengah hari, sebanyak 270 mangsa membabitkan 75 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan.

PPS tersebut menempatkan mangsa dari Kampung Batu Kapor, Kampung Sungai Buloh, Kampung Gajah Mati dan sekitarnya.

Selain PPS terbabit, empat lagi turut dibuka iaitu di Balai Raya Mempateh, Masjid Kampung Bongsu, Sekolah Kebangsaan (SK) Lanchang dan SK Desa Bakti menempatkan 569 mangsa keseluruhan di daerah ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!