GISBH bukan 'kumpulan pengganas' - Peguam

Rosli (tiga dari kanan) mewakili barisan peguam yang mewakili GISBH.
Rosli (tiga dari kanan) mewakili barisan peguam yang mewakili GISBH.
A
A
A

SHAH ALAM - Barisan peguam yang dilantik bagi mewakili GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) menegaskan bahawa komuniti GISBH bukanlah sebuah 'kumpulan pengganas'.

Jurucakapnya, Datuk Rosli Kamarudin berkata, bagaimanapun siasatan terhadap perkara itu perlu diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan sehingga selesai.

"Kami diarah untuk menyatakan bahawa GISBH, pegawai-pegawai tertinggi dan sesiapa yang disiasat di bawah kes ini ingin bersama-sama pihak berkuasa.

"Hak menyiasat adalah hak pihak berkuasa dan kami akur dengan siasatan ini tetapi GISBH dan yang disiasat merayu agar siasatan dijalankan dengan adil dan saksama.

"Biarlah pihak PDRM dan kerajaan menyelesaikan siasatan mereka manakala hak undang-undang GISBH akan diurus pasukan peguam dilantik," katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Rosli merupakan ketua barisan peguam yang dilantik selain Najib Zakaria, Hasnan Zakaria, Derina Abdullah, Boestaman Ahmad, Muhd Zaim Rosli dan Zainul Abidin bagi mewakili GISBH.

Hadir sama, dua anak pengasas Al Aqram, Ashaari Muhammad, Ummu Mubarokah, 30, dan Khaulah, 38.

Dalam pada itu, Rosli turut berharap agar pihak berkuasa dapat mempertimbangkan agar undang-undang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak dikenakan ke atas suspek dalam kes GISBH.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana, ahli lembaga pengarah dan pegawai syarikat GISBH telah memberi kerjasama yang baik dan akan terus berbuat demikian dalam apa-apa siasatan PDRM dan mana-mana agensi penguatkuasaan lain," ujarnya.

Ashaari Muhammad, Ummu Mubarokah (tiga dari kiri), dan Khaulah (tiga dari kanan) pada sidang media di sebuah hotel di Shah Alam pada Isnin.
Ashaari Muhammad, Ummu Mubarokah (tiga dari kiri), dan Khaulah (tiga dari kanan) pada sidang media di sebuah hotel di Shah Alam pada Isnin.

Dalam masa sama, pihaknya merayu kepada semua badan bukan kerajaan (NGO), ahli politik, para profesional dan individu yang tidak dilantik oleh GISBH supaya menghentikan sebarang polemik, perdebatan dan sebagainya yang boleh menimbulkan rasa tidak senang mana-mana pihak termasuk pihak berkuasa.

Selain itu, GISBH turut merayu agar kerajaan memberi kebenaran kepada mereka untuk terlibat sama dalam pengurusan kebajikan anak-anak GISBH dan akan mematuhi segala peraturan yang diarahkan.

"Kami juga merayu kerajaan dan pihak berkuasa memberi kebenaran kepada usahawan-usahawan GISBH memulakan perniagaan semula untuk kesinambungan kehidupan kerana kami tidak terlibat dengan perniagaan haram," tambahnya.

Khamis lalu, seramai 16 ahli GISBH yang direman sebelum ini ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, penahanan semula itu turut dilakukan ke atas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali.

Beliau berkata, selain Nasiruddin, mereka yang lain ditahan di bawah SOSMA adalah pimpinan tertinggi rangkaian GISBH.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!