Perubatan Tabib Adam difatwa sesat

Abdul Halim
Abdul Halim
A
A
A

MELAKA - Melaka memberi peringatan kepada umat Islam di negeri ini untuk tidak mendapatkan rawatan perubatan dengan Tabib Adam yang telah difatwakan sesat pada 12 September lalu.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil, berkata, ini kerana individu yang nama sebenarnya Adam Isa didapati menjalankan kaedah perubatan bertentangan dengan hukum syarak dan boleh memesongkan akidah.

Menurutnya, perubatan yang beroperasi di Masjid Tanah itu difatwakan sesat kerana terdapat elemen meragukan dalam perubatan tersebut seperti amalan wirid, pengeras wang selain dikhuatiri mengandungi unsur mistik.

"Berdasarkan kajian dan laporan yang dibentangkan dan wawancara dengan mereka, laporan-laporan itu kita lihat ada elemen keraguan.

"Kepada pesakit-pesakit ataupun yang mendapat khidmat perubatan seperti ini agar tidak terpedaya dan saya minta berhati-hati," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Seminar Pendidikan Fatwa Kontemporari Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, di sini, pada Isnin.

Ditanya mengenai pusat perubatan itu yang didakwa masih beroperasi, beliau berkata Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan terus memantau dan mengambil tindakan lanjut berdasarkan fatwa yang telah diwartakan itu.

Malah katanya, lebih membimbangkan kerana terdapat elemen seperti menyeru dan memanggil makhluk halus yang berlaku dalam perubatan tersebut dan menyimpang daripada ajaran Islam.

Artikel Berkaitan:

"Kita nampak pada masyarakat mereka yang sakit memanglah nak cari ubat, nak sihat, tapi pastikan sihat kita tadi adalah sihat yang tidak lari daripada perkara-perkara khurafat," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!