Dakwaan Islam terancam, tergugat adalah naratif palsu - Zulkifli

Zulkifli. Foto Bernama
Zulkifli. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Dakwaan kononnya Islam terancam dan tergugat adalah naratif palsu yang cuba mengaburi mata rakyat Malaysia, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata, Islam bukan sahaja tidak terancam dan tidak tergugat dalam tempoh Kerajaan Perpaduan memegang tampuk pemerintahan negara malahan terus subur dan mekar di Malaysia.

"Naratif Islam terancam dan tergugat ini sebenarnya terus dimainkan sekian lama demi mengaut sokongan dan membangkitkan sentimen agama.

"Seharusnya, perkara ini perlu dihentikan dan naratif yang adil seiring dengan aspirasi dan hasrat kerajaan diketengah dan diarusperdanakan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak pernah berbincang untuk menukar status agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Menurut Perdana Menteri, tuduhan jelik pihak pembangkang yang memainkan isu tersebut disifatkan pemalsuan fakta dan boleh mencetuskan kebencian.

Zulkifli berkata, negara kita kini menjadi tumpuan ulama tersohor dan cendekiawan daripada seluruh dunia yang hadir memberikan tausiyah, nasihat, pesanan serta mencurahkan ilmu mereka di Malaysia.

Antara ulama yang hadir termasuk Al-Imam Al-Akbar Syeikhul Azhar Dr Ahmed Mohammed Ahmed El-Tayeb, Syeikh Ali Jum’ah, Syeikh Ali al-Qaradaghi, Syeikh Abu Bakar Ahmad, Syeikh Yasir Qadhi, Syeikh Omar Suleiman, Syeikh Ahmed al-Raysuni, Syeikh Maheral-Muayqali.

Artikel Berkaitan:

"Ulama hebat ini memuji Malaysia dan mengiktiraf suasana dan keadaan di negara kita yang subur dengan majlis ilmu dan menikmati perkembangan Islam yang sangat baik,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, tuduhan bahawa perundangan Islam dan Mahkamah Syariah akan tergugat adalah sesuatu yang tidak benar dan fitnah jahat kerana kerajaan komited memartabatkan perundangan dan kehakiman Islam.

"Usaha ini adalah menyeluruh bukan sahaja dari aspek penggubalan undang-undang substantif dan prosedural tetapi juga pembangunan sumber manusia, infrastruktur dan ekosistem perundangan syariah itu sendiri.

"Kajian mengenai Akta Saraan Hakim Syarie, penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Syariah dan pewujudan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia menunjukkan keseriusan kerajaan memberi pengiktirafan kepada pemerkasaan perundangan syariah,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!