Warga emas nyaris ditimpa bumbung dapur rumah pusaka

Rukiah menunjukkan bahagian atap dan dinding dapur rumahnya yang runtuh dalam kejadian di Kampung Pak Kancil Dalam, di Setiu.
Rukiah menunjukkan bahagian atap dan dinding dapur rumahnya yang runtuh dalam kejadian di Kampung Pak Kancil Dalam, di Setiu.
A
A
A

SETIU - Seorang warga emas nyaris dihempap bumbung dapur rumah pusaka yang runtuh dalam kejadian di Kampung Pak Kancil Dalam, di sini.

Insiden berlaku pada Sabtu ketika Rukiah Mamat, 69, selesai makan tengah hari dan sedang mencuci tangan di singki dapur sebelum bahagian atap tersebut runtuh.

Rukiah berkata, bersyukur kerana runtuhan itu tersangkut pada bahagian dinding rumah dan sempat menyelamatkan diri.

"Ketika kejadian saya terdengar bunyi seperti kayu patah sebelum ternampak bumbung dapur tiba-tiba runtuh.

"Saya tergamam kerana kejadian itu berlaku secara tiba-tiba sehingga saya tidak dapat berganjak dari tempat berdiri.

"Waktu tu saya hanya sempat menjerit memanggil anak perempuan bongsu yang ketika itu berada dalam bilik dan segera berlari menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pak Kancil Dalam, di sini pada Ahad.

Katanya, sebaik melarikan diri, dalam sekelip mata bahagian dinding konkrit dan bumbung dapur itu runtuh menyembah bumi.

Rukiah yang lebih 40 tahun mendiami rumah itu memberitahu, insiden tersebut kali kedua berlaku selepas bahagian dinding tandas rumah tersebut runtuh secara tiba-tiba pada Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurut warga emas itu, dia dan anaknya kini terpaksa menumpang di rumah saudara terdekat sementara menunggu ia siap dibaiki.

"Saya percaya kejadian ini berlaku kerana keadaan tanah mendap disebabkan kawasan rumah ini merupakan kawasan laluan air. Lagipun keadaan cuaca hujan kerap berlaku kebelakangan ini.

"Dua insiden yang berlaku pada tahun ini menyebabkan saya rasa takut untuk melelapkan mata. Bimbang insiden sama berulang," luahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!