'Safehouse': SPRM akan panggil ahli politik ternama

Azam (kanan) mengiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor (dua dari kiri) ketika melancarkan logo rasmi Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah pada majlis perasmian Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) Tahun 2024 di SICC, Kota Kinabalu.
Azam (kanan) mengiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor (dua dari kiri) ketika melancarkan logo rasmi Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah pada majlis perasmian Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) Tahun 2024 di SICC, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli politik yang dikaitkan dengan penggeledahan 'safehouse' yang didakwa tempat penyimpanan wang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dipanggil untuk diambil keterangan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki tidak menafikan bahawa ia berkaitan dengan seorang ahli politik ternama namun beliau tidak dapat mendedahkan identitinya.

"Dia akan dipanggil satu masa yang difikirkan sesuai oleh pegawai penyiasat saya seperti mana lazimnya. Kami perlu mendapatkan segala bukti yang kita rasa wajar yang kita perlukan dan telah disahkan, barulah orang yang berkenaan akan dipanggil.

"Saya memang tidak akan menolak atau menafikan beliau akan dipanggil tapi selepas kami ataupun pegawai penyiasat saya berpuas hati tentang beberapa lagi penemuan dokumen dan juga wang yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (SICC) di sini pada Isnin.

Ditanya kaitan ahli politik tersebut dengan 'safehouse' tersebut, beliau berkata, sudah tentu dia suspek terlibat dengan aktiviti rasuah.

Katanya lagi, setakat ini kira-kira 15 saksi telah dipanggil SPRM dan dijangka ada ramai lagi akan menyusul untuk tujuan siasatan.

"Saya tak tahu berapa tapi akan ramai lagi saksi yang akan diambil untuk penyiasatan. Kes ini akan dibuka juga kertas-kertas siasatan yang di bawah Akta Pengubahan Wang Haram.

Artikel Berkaitan:

"Selain daripada Akta Pencegahan Rasuah 2009 yang di bawah Seksyen 16, kami juga akan membuka beberapa kertas siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA)," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai jumlah keseluruhan tangkapan setakat ini, beliau menjelaskan seramai empat individu ditahan reman termasuk seorang wanita.

"Yang direman sekarang ini yang ditangkap pada 10 Oktober lalu dan direman sehingga 15 Oktober iaitu seorang pengarah syarikat atau seorang ahli perniagaan.

"Ada seorang lagi pernah bertugas di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI iaitu seorang lelaki berumur 45 tahun tetapi kita hanya berjaya dapat menahan reman satu malam saja kerana dia mempunyai masalah kanser prostat.

"Ketiga individu berjawatan pemandu berumur 43 tahun dan direman selama tiga hari, telahpun dilepaskan dan seorang lagi wanita iaitu bekas pegawai kewangan satu syarikat yang terbabit, yang mana syarikat ini adalah yang mendapat konsesi pasir berkenaan dan berumur 46 tahun tetapi telah dilepaskan selepas reman tiga hari," katanya.

Sebelum itu, beliau turut mengesahkan laporan mengenai penemuan S$1.5 juta atau kira-kira RM5 juta di sebuah tempat yang dikatakan 'safehouse'.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan mata wang asing itu ditemukan susulan penahanan beberapa individu berkait kes rasuah berhubung konsesi perlombongan pasir.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!