MU digesa sambar 'klon' Cantona
MANCHESTER United digesa membeli pemain Aston Villa, Jack Grealish yang diyakini mampu membantu The Red Devils kembali menjadi sebuah pasukan pencabar dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pemerhati bola sepak England, Neil Warnock berkata, gaya permainan pemain sayap berusia 24 tahun itu mirip seperti legenda United, Eric Cantona dan beliau yakin Grealish akan sesuai bermain di Old Trafford.
"Saya fikir membeli Grealish akan menjadi sesuatu yang sangat bagus buat United. Apabila saya melihat dia, saya membayangkan corak permainan Cantona.
"Grealish seperti mempunyai magis dan sebagai pemain muda, dia memenuhi kriteria untuk mengisi kelompangan di Old Trafford. Apa yang saya boleh katakan United perlu sediakan wang pada jendela perpindahan akan datang," katanya.
Musim ini Grealish tampil berbisa bersama Aston Villa dengan sembilan gol dan lima bantuan gol selain turut menjadi kapten buat kelabnya pada ketika ini.
United juga dikatakan turut menyenaraikan Grealish antara calon untuk dibeli pada jendela perpindahan musim panas akan datang.
Menurut Warnock, Grealish juga sudah menunjukkan perkembangan serta kematangan dan United dilihat tidak rugi sekiranya membeli pemain itu.
"Dulu ketika saya menjadi pengurus Cardiff City dan kami menentang Villa di saingan liga, saya tidak terlalu risau dengan Grealish. Tetapi, sekarang dia sudah berbeza.
"Dalam 18 bulan atau dua tahun terakhir dia sudah bertambah baik. Lihat saja apa yang dilakukan bersama Villa ketika ini. Dia mempunyai segalanya dan mudah untuk menewaskan lawan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!