TRCRC tekad tingkatkan biodiversiti bandar

No Image Caption
A
A
A
SHAH ALAM - BOH Plantations Sdn Bhd (BOH) dan Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Hutan Hujan Tropika (TRCRC) telah menganjurkan bengkel, ‘Caring for Our Forest’, sempena Hari Habitat Sedunia 2024, baru-baru ini.

Lebih 50 peserta menghadiri bengkel setengah hari yang diadakan di Pusat Ilmuan Hutan Hujan Tropika Elmina, di sini, di mana mereka berpeluang menanam benih harapan untuk masa hadapan yang lebih baik dalam memelihara khazanah negara Malaysia iaitu hutan tropika kita.

Peserta didedahkan tentang kerja pemuliharaan utama TRCRC untuk melindungi dan memelihara tumbuhan tempatan serta cara membaik pulih landskap yang mengalami kemerosotan dengan spesies tempatan. Ini merupakan aspek penting dalam menangani kadar kehilangan biodiversiti yang kritikal di Malaysia.

No Image Caption



Para peserta dibawa melawat ke Elmina Living Collection Nursery dimana biji benih daripada tumbuhan yang sangat terancam, terancam dan jarang ditemui akan dikutip, disemai dan ditanam di tapak yang ditetapkan oleh TRCRC untuk menghasilkan anak benih dan bahan penanaman bagi projek pemuliharaan hutan.

Semua usaha ini sejajar dengan misi berganda TRCRC untuk memulihara spesies tumbuhan hutan hujan tropika di samping menerajui projek perlindungan dan pemuliharaan hutan di seluruh landskap. Projek utama TRCRC adalah Tropical Rainforest Living Collections di Merisuli, Sabah dan di Banun, Perak.

Di Elmina, TRCRC bertekad untuk mempertingkatkan biodiversiti bandar melalui pelbagai inisiatif. Mereka memberi tumpuan kepada usaha memulihkan landskap yang mengalami kemerosotan selain kawasan berhampiran tebing sungai di Selangor dan Kuala Lumpur.

Usaha mereka ini bertujuan meningkatkan ketahanan ekologi dan habitat yang berfungsi untuk hidupan liar tempatan.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:


Eksekutif Projek TRCRC, Intan Syafiqah Mohd Hamezan, berkata, TRCRC menumpukan usaha untuk mempertingkatkan biodiversiti bandar dengan menghijaukan semula tanah yang mengalami kemerosotan di kawasan-kawasan utama di bandar yang dikenal pasti melalui kajian lapangan yang menyeluruh.

“Pendekatan kami ini memberi penekanan kepada prinsip ‘spesies yang betul di tempat yang betul’ bagi memastikan kejayaan penanaman dan pemuliharaan,”katanya.

Bengkel ‘Menjaga Hutan Kita’ itu membuka peluang untuk menyelami sendiri usaha pemuliharaan biodiversiti bandar di samping membolehkan peserta merasai pengalaman mencampurkan tanah dan mengisinya ke dalam polibeg seterusnya memindahkan anak benih ke dalam polibeg.

Bagi peserta, Saiful Naim Abdul Hamin dan Rabiatul Adawiyah Zakaria yang meluangkan masa bersama dua anak lelaki mereka, Adam Solihin, 10, dan Alif Daniel, 8, di bengkel berkenaan merupakan detik yang menyeronokkan.

No Image Caption



“Ini adalah peluang yang baik untuk mendekatkan anak-anak kami dengan alam semulajadi dan memberi pengalaman supaya mereka tahu bahawa mereka juga boleh memainkan peranan dalam menjaga hutan kita.

“Mereka begitu seronok dapat memindahkan anak benih dan belajar banyak perkara baharu tentang hutan,”katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial BOH Plantations,Chen Chaw Chang, berkata, usahasama antara BOH dan TRCRC itu adalah kesinambungan daripada inisiatif berterusan untuk meningkatkan lagi biodiversiti bandar dan menyokong usaha-usaha kelestarian demi mencorakkan masa hadapan yang lebih baik untuk bumi.

No Image Caption



“Usaha ini juga mencerminkan hala tuju jenama BOH di mana kami sentiasa berpandangan jauh, prihatin dalam memelihara kelestarian (sustainabiliTEA) di samping memupuk hubungan kami dengan komuniti (communiTEA), serta sentiasa meneruskan visi Bru Untuk Masa Hadapan (Brewing for Tomorrow).

“Melalui sambutan ulang tahun ke-95 inisiatif ‘BOH Wish Tree’ baru-baru ini, kami telah menyumbang RM20,000 kepada TRCRC bagi membiayai pengumpulan 500 anak benih baharu untuk disemai dan dimanfaatkan dalam aktiviti menanam pokok pada masa hadapan demi meningkatkan biodiversiti bandar,”katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!