1,995 mangsa banjir di Kedah masih berlindung di 18 PPS

Anggota APM Kedah memindahkan mangsa terjejas ke tempat selamat. Foto APM
Anggota APM Kedah memindahkan mangsa terjejas ke tempat selamat. Foto APM
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 1,995 mangsa banjir di Kedah dari 644 buah keluarga berlindung di 18 buah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 12 tengah hari tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, angka itu menunjukkan penurunan berbanding seramai 2,312 mangsa dari 709 buah keluarga berlindung di 21 PPS dari lima daerah pada Ahad.

Menurutnya, kesemua 18 PPS yang dibuka membabitkan empat daerah iaitu di Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Baling.

Seorang warga emas dipindahkan ke tempat selamat setelah rumah mangsa dinaiki air. FOTO APM
Seorang warga emas dipindahkan ke tempat selamat setelah rumah mangsa dinaiki air. FOTO APM

"Baling mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai setakat ini iaitu 867 orang dari 309 buah keluarga yang ditempatkan di sembilan buah PPS.

"Sementara itu, sebanyak enam PPS dibuka di Kota Setar menempatkan 616 mangsa dari 192 buah keluarga.

"Di Pendang, 458 mangsa dari 123 buah keluarga ditempatkan di dua buah PPS manakala di Pokok Sena, seramai 54 mangsa dari 20 keluarga masih berlindung di satu PPS setelah rumah mereka terjejas banjir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anggota APM Kedah menyelamatkan mangsa terjejas banjir. Foto APM
Anggota APM Kedah menyelamatkan mangsa terjejas banjir. Foto APM

Beliau berkata, orang ramai dan penduduk terjejas terutama berdekatan sungai diminta sentiasa berwaspada terhadap keadaan cuaca dan paras air selain hujan lebat dan angin kencang.

Dalam laporan sebelum ini, beliau menjelaskan, APM Kedah bersedia segala kemungkinan termasuk berhadapan fenomena air pasang yang dijangka pada 18 hingga 20 Oktober ini.

"Kita telah maklumkan kepada ibu pejabat sekiranya keadaan semakin buruk di Kedah, kita akan mohon bantuan dari APM negeri lain," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!