Sze Fei-Nur Izzuddin bakal serta RTG - Hannah

Hannah berucap pada Program Rakan Muda: Skills For Life AKBG bidang perkhidmatan kedi di Kelab Golf dan Rekreasi Penjara Kajang pada Isnin. Foto Bernama
Hannah berucap pada Program Rakan Muda: Skills For Life AKBG bidang perkhidmatan kedi di Kelab Golf dan Rekreasi Penjara Kajang pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

JAWATANKUASA Program Road to Gold (RTG) sedia mempertimbangkan keputusan menyenarai masuk beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dalam program berkenaan pada mesyuarat akan datang.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ia dibuat selepas beregu lelaki berkenaan berjaya menampilkan aksi cemerlang pada beberapa kejohanan sebelum ini, sekali gus menepati kriteria untuk disenaraikan dalam RTG iaitu berada di kelompok 10 terbaik dunia.

"Prestasi mereka (Sze Fei-Nur Izzuddin) memang semakin meningkat dan saya ucapkan tahniah kepada mereka. Saya berharap mereka dapat teruskan konsistensi ini.

"Sekarang ini untuk RTG memang kedudukan 10 terbaik dunia dalam bidang sukan masing-masing, kita akan bantu mereka ke Sukan Olimpik.

"Saya kira dengan prestasi Sze Fei dan Nur Izzuddin ada harapan besar untuk kita masukkan dalam jawatankuasa RTG,” katanya kepada pemberita ketika sidang media Program Rakan Muda: Skills For Life Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG) bidang perkhidmatan kedi di Kelab Golf dan Rekreasi Penjara Kajang di sini pada Isnin.

Pada Ahad, Sze Fei-Nur Izzuddin berjaya meraih kejuaraan ketiga mereka selepas memenangi acara beregu lelaki pada Terbuka Artik selepas menumbangkan beregu kedua dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skarup Rasmussen 15-21, 21-15, 21-19.

Hannah ketika mengulas program yang dijalankan hari ini berkata, ia adalah inisiatif bersama Bahagian Pembangunan Rakan Muda dan Jabatan Penjara.

Beliau berkata, ia bertujuan memberi latihan kemahiran dalam perkhidmatan kedi kepada prospek-prospek lelaki di Penjara Kajang.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya dengan bimbingan tenaga pengajar bertauliah AKBG, para peserta akan mendapat latihan berkualiti sejajar dengan pengalaman mereka.

"Dengan pendedahan sebegini, ia dapat membantu meningkatkan kompetensi individu serta membuka peluang kepada mereka menceburi bidang pekerjaan dalam industri golf tempatan,” katanya.

Seramai 20 orang prospek lelaki mengikuti latihan kemahiran bidang perkhidmatan siri satu bermula hari ini (14 Oktober) sehingga Jumaat (18 Oktober).

Prospek yang mengikuti latihan berkenaan berpeluang menyambung pengajian dalam Program Kursus Perkhidmatan Kedi sepenuh masa selama enam bulan di AKBG. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!