NATO mulakan latihan nuklear besar-besaran di utara Eropah
BRUSSELS - Latihan nuklear berskala besar Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang dikenali sebagai 'Steadfast Noon' bermula Isnin dengan penyertaan 2,000 anggota tentera dari 13 negara perikatan termasuk 60 pesawat tentera, lapor Sputnik.
Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte berkata, latihan itu akan diadakan di United Kingdom, Laut Utara serta di Belgium dan Belanda, bertujuan mempamerkan kesiapsiagaan NATO untuk bertindak balas terhadap sebarang ancaman musuh.
Latihan terbabit dijadual berlangsung selama dua minggu, melibatkan lapan pangkalan udara.
Pesawat pelbagai jenis yang berupaya membawa senjata nuklear, pengebom, pesawat pengiring serta pesawat peninjau dan peperangan elektronik akan turut serta dalam latihan ini.
NATO sebelum ini memaklumkan bahawa latihan berkenaan dirancang lebih dari setahun lalu dan tidak akan melibatkan penggunaan senjata tempur.
Walaupun NATO menganggap latihan ini sebagai latihan yang dirancang, organisasi anti-perang mengkritik pelaksanaannya di tengah-tengah ketegangan antarabangsa.
Dalam Konsep Strategik NATO, pemimpin perikatan mengesahkan bahawa NATO akan kekal sebagai perikatan nuklear selagi senjata nuklear wujud.
Timbalan Menteri Luar Rusia, Alexander Grushko dalam satu temu bual dengan Sputnik mendakwa bahawa Moscow menyedari bahawa dari sudut ketenteraan-teknikal, NATO sedang bergerak ke arah meningkatkan peranan senjata nuklear dalam strategi perikatan itu.
Beliau mengingatkan bahawa bekas Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg sebelum ini menyebut mengenai pemodenan senjata nuklear, termasuk bom udara AS yang ditempatkan di negara-negara Eropah.
Menurut diplomat itu, Moscow mengambil kira 'keseluruhan faktor yang mempengaruhi kestabilan strategik, keselamatan, dan keupayaan pertahanan' dan bagi tujuan ini proses pengemaskinian Dasar Negara Rusia dalam bidang Pencegahan Nuklear sedang berlangsung.
Presiden Rusia Vladimir Putin sebelum ini mencadangkan untuk membincangkan isu kemas kini prinsip dasar negara dalam bidang pencegahan nuklear dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Rusia.
Rusia berhak menggunakan senjata nuklear dalam situasi pencerobohan, termasuk jika musuh menggunakan senjata konvensional, mencipta ancaman kritikal terhadap kedaulatan, katanya.
Beliau juga berkata bahawa serangan oleh negara bukan nuklear dengan penyertaan negara mempunyai senjata nuklear akan dianggap sebagai serangan bersama ke atas Rusia. - Bernama-Sputnik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!