Pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air dibentang di Dewan Rakyat

Fadillah Yusof
Fadillah Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024 antara lain bagi membolehkan mahkamah memerintahkan pihak yang melakukan pencemaran membayar kos bagi memulihkan sistem bekalan air dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin.

Rang undang-undang bagi meminda Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) itu dibentangkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ia juga bertujuan meminda Seksyen 121 Akta 655 untuk menjadikan suatu kesalahan jika mana-mana orang mencemarkan sumber air yang menyebabkan berlakunya pemberhentian sementara atau penutupan sistem bekalan air.

Rang undang-undang itu turut mencadangkan penalti dinaikkan sebagai suatu langkah pencegahan memandangkan pencemaran sistem bekalan air akan menjejaskan sebilangan besar pengguna.

Selain itu, ia juga bertujuan memasukkan subseksyen baharu (1A) dalam Seksyen 61 Akta 655 bagi melarang pelepasan efluen terlarang dan apa-apa benda lain ke dalam tangki septik.

Fadillah memaklumkan bacaan kedua rang undang-undang itu akan dibuat pada mesyuarat kali ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah membentangkan Rang Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali pertama dan memaklumkan bacaan kedua akan dibuat pada mesyuarat sama.

Rang undang-undang itu bagi meminda Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) antara lain bertujuan memasukkan seksyen baharu 41A bagi memperuntukkan kesalahan memujuk atau mendesak bagi mana-mana orang yang menawarkan perkhidmatan membawa penumpang tanpa kuasa yang sah di mana-mana tempat awam atau kawasan sampingannya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!