Suri rumah maut selepas dua hari bertarung nyawa

Kereta Proton Iswara yang dipercayai terlibat dalam kemalangan di KM1.5 Jalan Gaal - Kampung Bukit, Pasir Puteh pada Ahad.
Kereta Proton Iswara yang dipercayai terlibat dalam kemalangan di KM1.5 Jalan Gaal - Kampung Bukit, Pasir Puteh pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pejalan kaki yang dipercayai dilanggar sebuah kereta meninggal dunia selepas dua hari menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Kematian mangsa, Azmani Yaakob, 59, itu dimaklumkan oleh pihak hospital kira-kira jam 1 pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati suri rumah itu dilanggar sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer (KM)1.5 Jalan Gaal - Kampung Bukit, Pasir Puteh pada Sabtu.

"Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa yang juga seorang suri rumah dipercayai sedang berjalan kaki di bahagian kiri jalan ke arah Kampung Gaal.

"Siasatan awal mendapati ketika itu juga, sebuah kereta Proton Iswara yang dipandu lelaki berusia 37 tahun dari arah Kampung Changgai menghala ke jalan sama," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau, apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta terlanggar pejalan kaki mengakibatkan mangsa mengalami cedera parah di kepala.

"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh untuk rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan susulan," katanya.

Zaizul Rizal memberitahu, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

Kes diklasifikasi semula di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!