Kedutaan AS biadab, enggan terima memorandum - ADUN Seri Serdang

Abbas Salimmi (kanan) ditemui selepas memberikan keterangan di IPD Wangsa Maju pada Isnin.
Abbas Salimmi (kanan) ditemui selepas memberikan keterangan di IPD Wangsa Maju pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tindakan pegawai di kedutaan Amerika Syarikat (AS) yang enggan menerima memorandum semasa Himpunan Mega Setahun Al-Aqsa pada 11 Oktober lalu disifatkan sebagai biadab.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Abbas Salimmi Che Adzmi@Azmi mendakwa, perbuatan itu sangat biadab kerana himpunan berkenaan hanya dilakukan secara aman tanpa sebarang unsur kekerasan.

“Kami hanya mahu menghantar memorandum lima, enam helai sahaja yang mewakili suara rakyat Malaysia tentang kekejaman yang berlaku di Palestin tetapi kenapa mereka (Kedutaan AS) tidak mahu membenarkan kami masuk?

"Kita tidak datang secara kekerasan atau mengugut apa-apa, hanya mahu menyerahkan memorandum yang mewakili suara rakyat Malaysia," katanya pada sidang media selepas memberikan keterangan berkenaan isu itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Abbas Salimmi memaklumkan, beliau memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis IPD Wangsa Maju sepanjang proses itu berjalan.

Beliau merupakan individu kedua dipanggil polis berhubung himpunan berlangsung di hadapan ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) pada Jumaat selepas Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dipanggil polis selepas himpunan itu berakhir.

Pada Jumaat lalu, ratusan orang berhimpun di hadapan masjid TH di Kuala Lumpur bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kekejaman Israel.

Himpunan yang berlangsung selepas selesai solat Jumaat itu berarak dari ibu pejabat TH menuju ke kedutaan AS di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur bagi menyerahkan memorandum bantahan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, hasrat untuk menyerahkan memorandum tidak kesampaian apabila disekat oleh pihak berkuasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!