Hampir 12 jam kelaparan, kesejukan terperangkap banjir

Zalinah menunjukkan keadaan rumah buluhnya yang rosak akibat banjir melanda pada Ahad.
Zalinah menunjukkan keadaan rumah buluhnya yang rosak akibat banjir melanda pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Penduduk Kampung Orang Asli Chenein di sini terpaksa mengharungi tempoh 12 jam dalam keadaan kelaparan dan kesejukan akibat terperangkap dalam banjir pada Ahad.

Kesemua 32 mangsa daripada sembilan keluarga itu berlindung di tepi jalan berhampiran kawasan berbukit selepas kediaman masing-masing dinaiki air setinggi lebih satu meter.

Keadaan banjir di perkampungan Orang Asli Kampung Jong menunjukkan tanda pulih dengan paras air mulai surut semasa tinjauan dilakukan pada Isnin.
Keadaan banjir di perkampungan Orang Asli Kampung Jong menunjukkan tanda pulih dengan paras air mulai surut semasa tinjauan dilakukan pada Isnin.

Banjir yang disebabkan hujan lebat berterusan itu turut mengakibatkan penduduk terputus hubungan kerana laluan utama dinaiki air dan gangguan pada talian komunikasi.

Mangsa, Mohammad Shafarudin Ahin, 24, berkata, paras air disedari naik sekitar jam 3 pagi menyebabkan penduduk mengambil keputusan keluar dari kawasan rumah bagi menyelamatkan diri.

Mohammad Shafarudin
Mohammad Shafarudin

"Ketika itu keadaan gelap, dapat rasa arus air yang deras. Jadi untuk keselamatan kami duduk di tepi jalan untuk memudahkan melihat dan memantau paras air banjir.

"Dalam tempoh 10 minit sahaja, rumah kami sudah habis tenggelam," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Bapa seorang anak itu berkata, sementara menunggu bantuan tiba, mereka meraduk air banjir dan kembali ke rumah untuk mencari bekalan makanan, namun hampa apabila semua barangan telah rosak.

Katanya, sepanjang tempoh itu, mereka hanya bertahan dengan meminum air sehinggalah bantuan makanan tiba pada jam 2 petang.

"Anak-anak kecil dan warga emas paling kasihan, tetapi apa boleh buat, banjir kali ini berlaku dalam keadaan tidak dijangka.

"Kami keluar rumah pun dalam keadaan sehelai sepinggang," katanya.

Seorang lagi mangsa, Zalinah Zabidi, 35, berkata, kejadian banjir menyebabkan rumah buluh yang didiami hampir 10 tahun rosak dan tidak boleh diduduki lagi.

Keadaan rumah buluh didiami keluarga Zalinah di Kampung Chenein rosak akibat dilanda banjir.
Keadaan rumah buluh didiami keluarga Zalinah di Kampung Chenein rosak akibat dilanda banjir.

Dia yang pertama kali berdepan banjir besar mengakui, sangat cemas lebih-lebih lagi perlu mengharungi banjir yang ketika itu sudah mencapai paras 0.5 meter sambil memimpin tiga anak keluar rumah.

"Oleh kerana arus air sangat deras, suami terpaksa pikul anak bongsu kami yang berusia tiga tahun di bahunya. Masa itu tak tahu mahu gambarkan perasaan bagaimana.

"Mujurlah bantuan sampai, dapatlah kami menjamah nasi berlaukkan ayam sup dan daging kurma sebelum dibawa berpindah ke PPS ini," katanya.

Sementara itu, seramai 140 mangsa daripada 26 keluarga di Kampung Orang Asli Jong yang terjejas banjir selamat dipindahkan ke PPS (OAOSC) Bawong di sini sekitar jam 2 petang pada Isnin.

Tok Batin, Isa Ngah berkata, kesemua mangsa ditempatkan di balai sewang dan surau kampung sejak Ahad selepas mengambil keputusan tidak mahu meninggalkan kediaman masing-masing.

Isa
Isa

"Kami bimbang kalau tinggalkan kawasan ini, rumah diancam kehadiran gajah dan harimau.

"Kami baik-baik sahaja. Di sini ada sekitar 30 rumah yang tidak ditenggelami banjir, jadi merekalah yang bantu sediakan pakaian dan makan minum kami," katanya.

Setakat jam 3 petang, keadaan banjir di dua perkampungan Orang Asli tersebut menunjukkan tanda pulih dengan paras air mulai surut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!