Digantung hadiri sidang Dewan Rakyat, Wan Ahmad Fayhsal duduk di bangku pemerhati
KUALA LUMPUR - Walaupun sebelum ini digantung dari menghadiri sidang Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tetap hadir mengikuti Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15.
Menerusi hantaran di laman Facebook, bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu menafikan dakwaan beliau dihalau oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, hari ini.
"Fitnah yang dijaja hari ini dari Parlimen kononnya saya dihalau oleh Speaker, tidak benar.
"Saya belum terima apa-apa notis atau surat rasmi yang melarang saya hadir dan duduk di bahagian pemerhati Dewan Rakyat bersama pegawai ahli Parlimen dan rakyat yang lain," katanya pada Isnin.
Sebelum ini Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula 18 Julai lalu susulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Keputusan itu diumumkan Johari selepas usul berkenaan mendapat sokongan majoriti dalam undi belah bahagi, dengan 110 ahli Parlimen bersetuju dan 63 tidak bersetuju, manakala tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.
Dalam pada itu Wan Ahmad Fayhsal berkata, kehadirannya pada sidang Dewan Rakyat bagi membantu pembangkang dalam perbahasan.
"Kehadiran saya walaupun di bangku 'simpanan' turut membantu blok ahli Parlimen pembangkang dalam penghujahan dan perbahasan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!