Azlan Komeng stabil, bakal jalani satu lagi pembedahan
AKTOR yang juga pelakon aksi lagak ngeri, Azlan Komeng berada dalam keadaan stabil dan sudah dipindahkan ke Hospital Batu Pahat, Johor.
Perkembangan terbaharu itu dikongsikan isterinya, Nur Nilam Ortiz menerusi siaran langsung di akaun TikTok pada petang Isnin.
Ujarnya, Azlan akan menjalani satu lagi pembedahan utama pada bahagian pinggul yang patah.
"Kami minta dipindahkan ke Hospital Batu Pahat dari Hospital Kuala Lipis, Pahang kerana di sini ada keluarga dan adik-beradik abang (Azlan) yang boleh membantu.
"Lagipun abang akan ambil masa untuk sembuh dengan kecederaan yang dialami. Minta doakan kesembuhan abang," ujarnya,
Dalam kejadian di Kuala Lipis pada Jumaat lalu, kenderaan jenis Perodua Kancil dipandu Azlan bertembung dengan sebuah kenderaan sewaktu dalam perjalanan ke tapak perniagaan sehingga menyebabkan bintang Pagari Bulan itu mengalami kecederaan parah iaitu patah pada tangan kanan, kedua-dua belah kaki dan pinggul.
Bukan itu sahaja, Azlan, 48, sudah menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lipis untuk mencantumkan semula kulit tangannya yang terkoyak.
Nur Nilam memberitahu, tindakan pantas suaminya menjadi 'perisai telah membantu mengurangkan impak terhadap dirinya dan menyebabkan tidak mengalami kecederaan yang lebih serius.
"Keadaan saya stabil cuma ada sedikit luka dan bengkak, masa kejadian itu mungkin saya yang mati dahulu sekiranya dia tidak menggunakan badannya untuk halang saya daripada dirempuh.
"Alhamdulillah anak kami yang berusia lima tahun juga tidak mengalami kecederaan, dia hanya menangis sebaik kemalangan terjadi dan tidak trauma," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!