Gelombang kedua: Mangsa banjir di Baling paling ramai
BALING - Gelombang kedua banjir mengakibatkan 867 mangsa terpaksa dipindahkan ke sembilan buah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini.
Setakat jam 12 tengah hari Isnin, angka itu menunjukkan Baling mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai di Kedah berbanding tiga daerah lain antaranya Kota Setar (616), Pendang (458) dan Pokok Sena (54).
Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, menyedari keadaan sukar dihadapi penduduk Baling, pihaknya menghulurkan sumbangan agar dapat meringankan beban dihadapi mangsa.
Menurutnya, sumbangan berupa 140 pek makanan disediakan buat mangsa di sebuah PPS di Baling selain barangan basah serta keperluan memasak turut disediakan.
"Antaranya beras, ayam, bihun, gula dan air minuman diberikan kepada PPS Kompleks Rakan Muda Baling," katanya.
Hadir sama menyampaikan sumbangan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Datuk Najmi Ahmad dan Penghulu Mukim Pulai, Mohd Hazmir Md Isa.
Difahamkan, seramai 140 mangsa ditempatkan di PPS berkenaan setelah rumah mereka dinaiki air.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!