Sektor awam, swasta Johor wajib beri pelepasan solat Jumaat
JOHOR BAHRU - Semua sektor awam dan swasta di negeri Johor wajib memberikan pelepasan kepada umat Islam untuk menunaikan solat Jumaat di sebalik penetapan hari Jumaat sebagai hari bekerja mulai 2025.
Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, perkara berkenaan adalah selaras seperti yang terdapat dalam Garis Panduan Menunaikan Solat oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Kementerian Sumber Manusia yang terpakai dan berkuat kuasa.
“Biarpun hari Jumaat ditetapkan semula sebagai sebagai hari bekerja di negeri Johor mulai tahun hadapan, ia diharap tidak mengganggu pelaksanaan solat Jumaat bagi kakitangan awam, pekerja Muslim dan pelajar.
“Sehubungan itu, tiada alasan untuk mana-mana umat Islam di negeri ini meninggalkan kewajipan solat Jumaat.
“Mereka yang sengaja tidak solat Jumaat selepas penetapan semula hari Jumaat sebagai hari bekerja di Johor mulai tahun depan akan dikenakan tindakan seperti yang termaktub dalam Seksyen 14, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997,” katanya.
Untuk rekod, minggu lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar cuti hujung minggu di negeri ini ditukar kembali kepada hari Sabtu dan Ahad, mulai 1 Januari 2025.
Baginda membuat keputusan tersebut setelah mendapat izin dan restu Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
Tambah Baginda, keputusan itu turut mendapat pandangan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan dan rakyat di negeri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!