Brek tak berfungsi, lori rempuh enam kenderaan di lampu isyarat
BATU PAHAT - Kegagalan brek berfungsi dipercayai menjadi punca sebuah lori melanggar empat kereta dan dua motosikal di persimpangan lampu isyarat, Sri Medan, di sini, pada Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, siasatan awal mendapati insiden tersebut berlaku pada jam 3.47 petang apabila lori yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun dalam perjalanan dari Parit Sulong menghala ke Johor Bahru.
Bagaimanapun katanya, sebaik tiba ke lokasi, lori berkenaan dipercayai mengalami masalah brek dan menyebabkannya melanggar kesemua kenderaan terbabit.
“Kesemua mangsa yang terlibat dalam kemalangan berkenaan bagaimanapun disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Ujian saringan awal air kencing pemandu lori terbabit mendapati ia bebas daripada kandungan dadah.
“Bagaimanapun, lori tersebut ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), Batu Pahat,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu kesalahan memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Jika sabit kesalahan, hendaklah dihukum denda tidak kurang RM4,000 dan tidak lebih RM10,000 dan boleh juga dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!