Dewan Rakyat lulus pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit

Lukanisman ketika sesi pengulungan rang undang-undang pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama
Lukanisman ketika sesi pengulungan rang undang-undang pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 bertujuan memastikan kesiapsiagaan negara menangani ancaman penyakit berjangkit.

RUU berkenaan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 23 Ahli Parlimen.

"Ia tidak hanya memastikan pencegahan dan kawalan lebih cekap dan berkesan, tetapi juga menjadi asas penguatkuasaan yang mantap untuk menghadapi sebarang wabak atau pandemik pada masa depan termasuk ancaman penyakit berjangkit baharu,” kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni ketika menggulung perbahasan RUU itu.

Mengenai kebimbangan berhubung kenaikan kadar kompaun menerusi RUU yang mungkin menjadi beban kepada rakyat terutama golongan B40, beliau berkata, ia bukan bertujuan menghukum tetapi sebagai satu bentuk didikan bagi memastikan kesalahan sama tidak berulang dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa dan kesan terhadap masyarakat.

"Bayangkan sekiranya rakyat tidak memandang berat terhadap undang-undang berkaitan pengawalan penyakit berjangkit, ini akan mengakibatkan penularan jangkitan berterusan hingga menyebabkan kejadian wabak atau pandemik, keperluan kemasukan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi yang tinggi serta mengakibatkan peningkatan kadar kematian.

"Situasi ini akan mengakibatkan peningkatan kos pengurusan kes penyakit berjangkit melampau yang terpaksa ditanggung kerajaan,” katanya.

Lukanisman berkata, jumlah RM5,000 yang diperuntukkan adalah had maksimum dan kompaun sebenar dikenakan akan mengambil kira tahap keseriusan kesalahan supaya ia seimbang dan adil.

Mengulas isu penguatkuasaan, beliau berkata, pegawai diberi kuasa ialah pegawai terlatih yang bertindak mengikut garis panduan penguatkuasaan dirangka bagi tujuan pemantauan untuk memastikan tiada kejadian penyalahgunaan kuasa berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai contoh, penggunaan kamera badan semasa penguatkuasaan dijalankan. Ini bertujuan memastikan aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan secara profesional dan berintegriti,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!