Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam jadi tumpuan

Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam akan ditutup bagi memberi laluan kepada projek pembinaan jalan yang menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam ke CIQ Sadao di Thailand.
Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam akan ditutup bagi memberi laluan kepada projek pembinaan jalan yang menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam ke CIQ Sadao di Thailand.
A
A
A

KUBANG PASU - Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam menjadi tumpuan pengunjung apabila pihak peniaga menawarkan diskaun hampir 50 peratus pada setiap barangan di situ selepas ia diumumkan bakal ditutup.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kedai jam, pewangi lelaki dan wanita antara yang menjadi tumpuan pengunjung.

Seorang pengunjung, Yusni Yusof, 40, berkata, dia mengetahui tentang pemotongan harga itu melalui anak saudaranya.

"Saya pulang bercuti di Alor Setar, anak saudara beritahu yang kompleks ini akan ditutup dan sedang mengadakan jualan murah.

"Saya tengok memang murah-murah. Jam berjenama pun potongan harga sampai 50 peratus. Jarang ada peniaga yang bagi diskaun sampai separuh harga ini," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Menurutnya, dia turut teruja melihat pewangi yang ditawarkan potongan harga 30 peratus.

"Tapi saya tengok banyak rak sudah kosong, mungkin ramai yang lebih awal mai (datang) beli di sini," katanya.

Seorang pengunjung dari negara jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Cha berkata, dia kerap membeli barangan di kompleks berkenaan kerana lebih dekat dengan rumahnya.

Artikel Berkaitan:

"Ada barang makanan yang ada di sini tapi tak ada di Thailand.Jadi memang mai sini lebih senang," katanya.

Sementara itu, seorang pemilik kedai yang enggan dikenali berkata, mereka terpaksa menawarkan diskaun sehingga 50 peratus untuk menghabiskan stok barang.

"Harga ini memang rugi sebenarnya, tak ada untung. Tapi nak buat macam mana, dah kompleks ni nak ditutup untuk buat jalan ke Siam, " katanya.

Beberapa pekerja kompleks berkenaan yang ditemui juga tidak mengetahui tarikh sebenar kompleks berkenaan akan ditutup.

"Kami hanya tunggu arahan saja, selagi belum dapat arahan, kami terus kerja macam biasa.

"Tapi diskaun di bahagian pewangi ini akan berlangsung untuk tempoh sebulan lagi, jadi mungkin kompleks ini akan beroperasi sehingga tempoh itu," kata salah seorang daripada mereka.

Baru-baru ini, anak syarikat tidak langsung Atlan Holdings Bhd., Cergasjaya Sdn. Bhd. (CPPA) telah menerima notis bagi pengambil alihan wajib tanah mereka di Bukit Kayu Hitam untuk projek pembinaan jalan menghubungkan Kompleks Imigresesn, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam ke kemudahan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand.

Dalam makluman kepada pengawal selia Bursa Singapura, DFI berkata, tanah itu diambil alih oleh Kementerian Dalam Negeri dan ditadbir oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Kedah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!