Banjir di enam negeri, 3,888 mangsa ditempatkan di PPS

Sebuah kenderaan tenggelam akibat banjir di Jalan Mentakab - Lanchang. Foto Bernama
Sebuah kenderaan tenggelam akibat banjir di Jalan Mentakab - Lanchang. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga daripada enam negeri dilanda banjir ketika ini menunjukkan peningkatan jumlah mangsa dengan keseluruhan seramai 3,888 orang membabitkan 1,205 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang Isnin.

Berdasarkan laporan terkini dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), tiga negeri yang mencatatkan pertambahan mangsa ialah Kedah, Perak dan Johor.

Jumlah mangsa yang terlibat dengan bencana itu di Melaka dan Pahang pula tidak berubah, manakala di Selangor merekodkan penurunan.

Kedah mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 1,850 melibatkan 608 keluarga susulan empat daerah terjejas membabitkan Baling, Kota Setar, Pendang dan Pokok Sena.

Di Perak pula, sejumlah 1,267 mangsa daripada empat kawasan terlibat iaitu Hulu Perak, Kerian, Kuala Kangsar dan Muallim masih ditempatkan di PPS.

Sementara itu, di Melaka, seramai 226 mangsa daripada 75 keluarga masih terjejas, diikuti Johor, 207 mangsa daripada 63 keluarga.

Di Pahang pula terdapat 201 mangsa membabitkan 55 keluarga, manakala Selangor 62 orang maish berlindung di PPS.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!