Permohonan kenaikan caj IJN akan dibincang bersama MOF, KKM - Lukanisman

Lukanisman Awang Sauni. Foto Bernama
Lukanisman Awang Sauni. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permohonan Institut Jantung Negara (IJN) untuk menaikkan caj sebanyak 10 hingga 40 peratus ke atas pesakit akan dibincangkan secara bersama antara Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kewangan (MOF) dan institut itu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, KKM tidak dapat mempengaruhi fi yang dikenakan kerana IJN bukan di bawah bidang kuasa KKM.

"IJN di bawah MOF dan KKM 'client' kepada IJN. Apa yang berlaku ketika ini merupakan keputusan daripada pihak IJN.

"Kita akan berbincang dan memperhalusi punca peningkatan kos atau bayaran yang dikenakan kepada pesakit," katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Isnin.

Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Profesor Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib dilapor memohon kajian semula terhadap struktur bayaran yang tidak berubah sejak 21 tahun lalu serta menaikkan 10 hingga 40 peratus caj dikenakan terhadap pesakit.

Lukanisman turut mengakui permohonan peningkatan yuran yang dikemukakan IJN akan memberikan impak kepada KKM ekoran pihaknya masih menghantar pesakit yang dirujuk ke institut itu.

Sementara itu, mengulas mengenai beberapa pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang diluluskan Dewan Rakyat, beliau berkata, ia bertujuan untuk meningkatkan kesiapsiagaan negara dalam menangani ancaman penyakit berjangkit.

Ahli Parlimen Sibuti itu menjelaskan, pakej pindaan tersebut membolehkan pencegahan dan kawalan penyakit lebih cekap dan berkesan, sekali gus menjadi asas penguatkuasaan menghadapi sebarang wabak atau pandemik penyakit berjangkit di masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

"KKM telah mengenal pasti beberapa keperluan mendesak sewaktu menangani beberapa wabak utama antaranya pandemik Covid-19 yang melanda pada tahun 2020.

"Bagi menangani cabaran yang timbul dengan berkesan, pindaan-pindaan ini dikemukakan untuk mengemaskini dan menutup kelompongan dalam kerangka perundangan negara sedia ada agar selari keperluan semasa," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!