Sarawak rancang bawa 'Lipan' dan 'Kerbau' ke peringkat antarabangsa

Abang Johari. Foto Bernama
Abang Johari. Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Sarawak mahu mengetengahkan ciptaan tempatan iaitu dua mesin jentera penuai buah sawit yang dikeluarkan oleh Sarawak Plantation Bhd (SPB), dinamakan Lipan serta Kerbau ke peringkat antarabangsa.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kedua-dua mesin berkenaan mampu menuai hasil sebanyak 1.2 tan metrik buah sawit dalam masa dua minit, sekali gus meningkatkan produktiviti hasil tuaian komoditi itu dalam negara.

"Saya berbincang dengan MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia) mengenai jentera ini dan ia adalah satu pemindahan teknologi, jadi kita sudah menemui satu teknologi baharu untuk menuai buah sawit.

"Saya menjemput MPOB menjadi rakan kongsi ekuiti dalam syarikat tersebut (SPB) dan kerajaan Sarawak akan menyertainya, jadi kita sudah ada hak paten, maka kita menjadi pengeluar utama dalam industri kelapa sawit apabila pasaran boleh membeli mesin kita,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB (TOT Sarawak 2024) di sini hari ini, beliau berkata SPB akan menambah baik inovasi serta fungsi jentera berkenaan sebelum ia dapat dipasarkan di peringkat seterusnya.

Pada 9 September 2024, media melaporkan mesin penuai buah kelapa sawit Lipan diperkenalkan di ladang milik SPB di Subis, yang terletak kira-kira 88 kilometer dari bandar Miri.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Abang Johari berkata Lipan dan Kerbau dikendalikan dengan menggunakan kawalan jarak jauh yang boleh mengurangkan kebergantungan pemain industri tempatan terhadap tenaga kerja asing susulan ia menjadi permasalahan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Premier Sarawak itu turut memaklumkan negeri berkenaan mencatatkan jumlah eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit sebanyak 3.13 juta tan metrik dengan nilai eksport mencecah lebih RM11.02 bilion sehingga Ogos 2024.

"Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 13 peratus berbanding RM9.78 bilion dalam tempoh yang sama pada 2023,” katanya.

Menurut Abang Johari, Sarawak merupakan negeri dengan keluasan tanaman sawit terbesar di Malaysia iaitu seluas 1.62 juta hektar. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!