MAINJ tubuh jawatankuasa tindakan isu semasa agama Islam

Mohd Fared
Mohd Fared
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Isu-Isu Semasa Agama Islam bagi melaksanakan tindakan lanjut dalam isu berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan melalui Mesyuarat Khas MAINJ semalam selaras dengan Seksyen 7(1), Seksyen 6 dan Seksyen 27 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Beliau berkata, jawatakuasa berkenaan bersifat tetap yang boleh bersidang bila-bila masa apabila timbul isu yang boleh menggugat akidah, syariah dan akhlak serta hukum syarak, sekali gus menggugat ketenteraman masyarakat.

"Fungsi utama jawatakuasa ini adalah mengkaji, meneliti dan mencadangkan kepada MAINJ serta jabatan atau agensi kerajaan terlibat bagi melaksanakan tindakan lanjut berkaitan isu yang terkait agama Islam.

"Jawatankuasa ini melibatkan semua jabatan dan agensi di peringkat negeri dan Persekutuan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kesan penguatkuasaan yang menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, berkaitan isu pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri ini, beliau berkata, beberapa cadangan program dirancang dan diperhalusi bagi membantu individu terlibat.

Mohd Fared berkata, antara cadangan program yang diketengahkan ialah Program Pemulihan Akidah, Syariah dan Akhlak; Program Pengesahan Pendaftaran Perkahwinan; Program Bantuan Sara Hidup dan Bantuan Mikro Sara Hidup; Program Kaunseling Keluarga serta Program Dakwah Bekas Ahli.

"MAINJ selaku pihak berkuasa agama sentiasa komited membimbing mereka kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asyairah al-Maturidiyah serta memastikan agama Islam terus terpelihara,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!