'Enam kali cuba, baru ada rezeki juara'

Norhanani tidak menyangka percubaan kali enam dengan izin ALLAH dinobatkan sebagai Johan kategori Qariah Pahang pada Majlis itu.
Norhanani tidak menyangka percubaan kali enam dengan izin ALLAH dinobatkan sebagai Johan kategori Qariah Pahang pada Majlis itu.
A
A
A

KUANTAN - Wanita bertubuh kecil berasal dari Bentong ini tidak menyangka percubaan kali keenam memasuki pertandingan tilawah al-Quran membawa tuah kepada dirinya.

Norhanani Ayob, 24, berkata dia tidak meletakkan sebarang harapan untuk menjadi johan kategori qariah memandangkan semua peserta pertandingan itu adalah hebat-hebat belaka.

Menurutnya, namun setiap bacaan dan alunan al-Quran yang diperdengarkan kepada umum dalam pertandingan itu adalah secara ikhlas dan berniat semata-mata kerana ALLAH.

"Ini berkat kepada kemenangan saya pada hari ini. Setiap kali saya masuki pertandingan, saya baca (al-Quran) kerana ALLAH dan tiada niat hendak menang dan saya ikhlas dalam setiap penyampaian.

"Ini amanah daripada guru yang saya pegang sejak memasuki pertandingan tilawah daripada berusia 18 tahun lagi. Ternyata malam ini ALLAH memberikan rezeki serta peluang untuk saya," katanya.

Tengku Hassanal menyampaikan hadiah kepada Norhanani yang dinobatkan sebagai Johan kategori Qariah Pahang pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Pahang malam tadi.
Tengku Hassanal menyampaikan hadiah kepada Norhanani yang dinobatkan sebagai Johan kategori Qariah Pahang pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Pahang malam tadi.

Dia ditemui ketika ditemui selepas Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Pahang kali ke-63 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini malam tadi.

Artikel Berkaitan:

Majlis itu disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama isteri, Datin Seri Burhah Mohamed, Exco Hal Ehwal Agama Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Norhanani yang juga penuntut tahun tiga Pengajian Arab dan Tamadun Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, minat membaca al-Quran bermula sejak di bangku sekolah itu mendapat sokongan daripada keluarga.

Menurutnya, sejak daripada itu, ibu dan ayahnya sentiasa memberi galakan supaya menyertai semua pertandingan tilawah al-Quran yang dianjurkan pada setiap tahun.

"Jadi, sejak usia 18 tahun saya sudah terlibat dalam pertandingan tetapi hanya memenangi setakat nombor dua dan tiga sahaja di peringkat daerah di Bentong.

"Tapi tahun ini baru ALLAH izinkan saya menjadi johan di peringkat daerah sekali gus dipilih bertanding di peringkat negeri dan akhirnya dinobatkan sebagai johan kategori qariah Pahang," katanya.

Gadis itu berkata, tugasnya kini bertambah berat apabila akan membawa nama Pahang ke peringkat kebangsaan.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, dia perlu mempersiapkan diri sepenuhnya dengan memperbaiki bacaan tajwid, kelancaran dan taranum supaya lebih baik.

"Doakan semoga urusan saya dipermudahkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!